Petronas nafi dakwaan taja Liga Bola Sepak Bangladesh, tegaskan tiada kerjasama dijalinkan
Petronas tampil menjernihkan keadaan selepas tular beberapa dakwaan di media sosial yang mendakwa syarikat minyak dan gas nasional itu menjadi penaja rasmi Liga Bola Sepak Bangladesh.
Melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Petronas dengan tegas menafikan penglibatan mereka dalam mana-mana bentuk kerjasama atau penajaan dengan liga bola sepak tersebut.
Menurut kenyataan itu, Petronas tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian penajaan, malah tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama atau jenama syarikat bagi tujuan promosi liga tersebut.
“Petronas menyedari kewujudan beberapa hantaran di media sosial mengenai dakwaan penajaan liga bola sepak Bangladesh. Kami ingin mengesahkan bahawa PETRONAS tidak memasuki sebarang perjanjian tajaan, dan tidak pernah mengesahkan penggunaan nama atau jenama kami,” jelas kenyataan itu.
Penafian ini hadir selepas beberapa grafik dan dakwaan tidak sahih tersebar di platform sosial dalam tempoh 48 jam terakhir, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Petronas menegaskan bahawa pihak mereka sentiasa menjaga integriti nama dan reputasi syarikat, dan hanya terlibat dalam kerjasama rasmi yang memberikan nilai kepada pemegang taruh serta komuniti di seluruh dunia di mana syarikat itu beroperasi.
Kenyataan ini sekali gus meredakan spekulasi dan mengingatkan orang ramai agar hanya merujuk kepada saluran rasmi Petronas untuk sebarang maklumat sahih, terutama membabitkan penajaan sukan.