Nak marah atau sedih pun dah tak boleh, we’re in the s*** – Curtis Jones

140

Liverpool menerima tamparan hebat malam tadi apabila mereka tewas 1‑4 kepada PSV Eindhoven di Anfield, satu keputusan yang mengejutkan penyokong.

Kekalahan ini bukan sahaja memalukan, malah menjadikan krisis prestasi yang sedang dihadapi Liverpool semakin teruk dengan ini merupakan kekalahan ke-9 dalam 12 perlawanan terakhir.


Pemain tengah, Curtis Jones tampil jujur dalam kenyataannya selepas perlawanan dengan nada yang begitu kecewa, mengakui prestasi teruk yang sedang dilalui pasukan.

“Saya tak ada jawapan, betul‑betul tak ada. Ini tak boleh diterima. Saya dah berada di tahap di mana saya tak boleh nak marah atau sedih. Saya tak ada kata-kata sekarang.”

“Kita memang dalam masalah besar… kita berada dalam tahi (we’re in the s**), dan ia perlu berubah.”

Ungkapan kecewa itu menunjukkan betapa serius dan kritikalnya prestasi Liverpool kini, merudum teruk selepas musim pertama yang baik di bawah kendalian Arne Slot.

Walaupun beliau sendiri mengaku tidak tahu di mana silapnya, Jones menegaskan bahawa pasukan masih memikul tanggungjawab untuk mengembalikan gemilang lencana di dada mereka.

Beliau menyeru perubahan mentaliti dan karakter dalam pasukan, bukan sekadar bermain dengan baik dengan, tetapi juga kembali dengan semangat dan karakter seperti sebelum ini.

“Saya peminat sejak kecil. Saya tak pernah tengok pasukan main sebegini teruk atau dapat keputusan seperti ini.”

“Selagi lencana ini masih di dada kita, kita akan terus berjuang. Kita akan cuba bawa pasukan ini kembali ke tahap sepatutnya dan tunjuk kepada dunia kenapa Liverpool digelar kelab terbaik di dunia.”

Gol awal perlawanan datang daripada Ivan Perisic melalui penalti pada minit ke‑6 selepas pelanggaran dengan pemain Liverpool di dalam kotak penalti.

Liverpool berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke‑16 melalui Dominik Szoboszlai selepas memanfaatkan bola muntah daripada penjaga gol PSV.

Namun, separuh masa kedua menjadi milik PSV, dengan Guus Til menambah gol pada minit ke‑56 dan Couhaib Driouech menambah dua lagi gol pada minit ke‑73 serta masa tambahan untuk menamatkan perlawanan dengan 4‑1.