Mukminah Paiman: Pelari Ultra berniqab yang menakluk 50K TDL 2025 dengan gaya tersendiri

37

Di sebalik ratusan pelari yang menyertai Trail des Lenggeng (TDL) 2025, satu nama mencuri perhatian Mukminah Paiman, atau lebih mesra dikenali sebagai Ina, seorang pelari ultra berniqab yang bukan sahaja memecah stereotaip, tetapi turut mendominasi kategori 50K Wanita Terbuka dengan catatan masa 08:18:47.

Kemenangan ini bukan sekadar tentang kepantasan atau ketahanan fizikal, tetapi tentang disiplin, strategi dan kekuatan mental yang mengagumkan. 


Lebih menarik, niqab yang dipakai langsung tidak menghalang prestasinya; malah menjadi simbol keteguhan seorang atlet wanita Muslim yang mahu membuktikan kemampuan diri dalam dunia sukan lasak.

Berkongsi kisah larian sepanjang 50 kilometer kali ini, Ina menjelaskan bahawa kunci utamanya ialah ‘bermain’ selamat sejak kilometer pertama.

“Dari permulaan perlumbaan, saya memilih untuk bermain selamat. Saya mula dengan pace perlahan dan cuba simpan tenaga kerana saya sudah tahu profil laluan, ada bahagian yang memerlukan pendakian curam.

Jadi dari awal, terutama di bahagian jalan tar dan rolling section, saya fokus untuk menjaga tenaga. Apabila memasuki seksyen yang mula mendaki, di situlah tenaga lebih banyak diperlukan.

Bahagian itu saya cuba kawal sebaik mungkin supaya dapat kekalkan timing. Saya cuba kekalkan momentum, steady dari awal sampai ke garisan penamat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Biarpun berjaya mengekalkan rentak lariannya, Ina mengakui 30 kilometer terakhir adalah bahagian yang paling sukar.

“Masa tu dah mula panas, badan pun dah barai, tapi kena keep going juga dan Alhamdulillah lah saya cuba maintain dan berjaya lah.”

Ina bukan sahaja berjaya menjuarai bagi kategori Terbuka Wanita tetapi juga berjaya mencapai sasaran sub 10 jam apabila mencatatkan masa lapan jam lebih sahaja.

Dalam pada itu, sebagai pelari berniqab, cabaran paling besar bagi Ina ialah pernafasan terutama di laluan pendakian.

“Bila uphill, saya dah tak boleh bernafas perlahan. Kena guna hidung dan mulut sekali sebab hidung tak cukup ambil udara.”

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa niqab bukanlah halangan buat dirinya untuk berlari dengan baik.

Sementara itu, selepas kemenangan di TDL, Ina sudah bersedia untuk perlumbaan seterusnya hujung Disember di Perak Endurance, sebuah acara berkonsepkan looping road yang bakal menguji ketahanan secara berbeza.