Lebih 700 pelari, 23 negara: TDL kini di landasan tepat masuk kalender Asia Trail Master
Trail des Lenggeng (TDL) 2025 kembali dengan lebih besar, lebih meriah dan terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara acara larian denai paling unik di Malaysia.
Pengarah Perlumbaan (Race Director), Ahmad Tarmizi Abdullah, ketika ditemui di Dusun Nas Farmstay Lenggeng berkongsi bahawa edisi kedua ini menyaksikan peningkatan penyertaan yang sangat ketara iaitu daripada 493 peserta dari 13 negara tahun lalu, kepada 715 peserta dari 23 negara pada tahun ini.
“Tahun ini, TDL mencatat sebanyak 715 peserta dengan penyertaan daripada 23 negara, termasuk Australia, Brunei, Perancis, Filipina, Thailand dan Indonesia.
Untuk edisi kedua ini, kategori yang ditawarkan masih sama seperti tahun lalu. Kategori 5km merupakan larian desa Lenggeng yang lebih banyak melibatkan laluan jalan raya berbanding trail.
Sementara itu, jarak 15km, 30km dan 50km menawarkan cabaran sebenar dengan laluan yang melalui beberapa lokasi bersejarah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Tarnizi, antaranya ialah Sak Dato Temple (Wukong), sebuah lokasi yang menempatkan patung Wukong terbesar di duniamenurut penduduk setempat.
Pelari juga melalui kawasan yang menempatkan pokok durian tertua di Negeri Sembilan, dipercayai berusia lebih 200 tahun.
Selain itu, laluan turut merentasi Jeram Kedah, perkampungan Orang Asli serta deretan kebun-kebun durian yang menjadi identiti kawasan Lenggeng.
Tarmizi juga berkata peningkatan penyertaan turut didorong oleh promosi melalui Hijo Trail des Series, gabungan beberapa acara denai di Gombak, Pantai dan Seremban, selain tarikan semula jadi Lenggeng sendiri yang terkenal dengan durian, fauna hutan termasuk tapir, serta jeram-jeram semula jadi.
Dalam pada itu, menilai keseluruhan penganjuran, beliau menyifatkannya acara kali ini sebagai “memuaskan” dan yakin TDL kini berada di landasan tepat untuk memasuki kalender Asia Trail Master (ATM) selepas diangkat sebagai candidate race tahun ini.
“Tahun ini, Lenggeng telah diangkat sebagai candidate race, dan kami berharap pada tahun depan ia akan disenaraikan secara rasmi dalam kalender Asia Trail Master (ATM).
Jika terpilih, ia akan menempatkan TDL sebagai salah satu acara larian denai terkemuka di Asia Tenggara, menarik kehadiran pelari elit dari serantau dan seluruh dunia.”
Sementara itu, untuk tahun hadapan Tarmizi memberitahu bahawa pelari boleh menantikan sesuatu yang lebih mencabar yang mana mereka berkemungkinan besar akan memperkenalkan kategori 70km, selain harapan TDL akhirnya diterima secara rasmi sebagai sebahagian daripada kalender ATM.
TDL 2026 dijangka kembali pada hujung November, antara 27 hingga 29 November, dengan sasaran membawa nama Lenggeng lebih jauh ke pentas antarabangsa.