Pengalaman Malayan Tigress di Tri Nations Series jadi bekalan ke Sukan SEA 2025
Skuad bola sepak wanita negara baru-baru ini telah menamatkan Tri Nations Women’s International Series 2025, yang berlangsung di Dhaka, Bangladesh, dengan mencatatkan satu kemenangan dan satu kekalahan.
Kemenangan tipis 1-0 yang dicapai menentang tuan rumah, Bangladesh, merupakan, satu kemajuan yang positif dalam keupayaan bersaing di peringkat antarabangsa.
Detik pemisah perlawanan tersebut dicetuskan oleh pemain tengah Selangor FC, Ainsyah Murad, yang telah memanfaatkan peluang dengan larian pantasnya pada minit ke-28 untuk membantu Malayan Tigress mencatatkan kemenangan.
Dalam perlawanan kedua kejohanan yang sama, skuad bimbingan ketua jurulatih, Joel Cornelli akur dengan kekalahan 0-2 di tangan Azerbaijan.
Penyertaan dalam kejohanan Tri Nations, walaupun dengan satu kekalahan, dilihat sebagai pengalaman dan pendedahan yang amat penting, memandangkan matlamat utama adalah untuk meningkatkan prestasi dan persediaan pasukan kebangsaan ke Sukan SEA 2025 bulan ini di Thailand.
Malayan Tigress diundi dalam Kumpulan B dan bakal membuka tirai saingan menentang Vietnam pada Jumaat, 5 Disember disusuli aksi berdepan Myanmar pada 8 Disember dan perlawanan terakhir bertemu Filipina pada 11 Disember 2025.
Diharapkan dengan ruang dan masa yang tinggal ini , pasukan Malayan Tigress dapat memanfaatkan sepenuhnya untuk memperkemaskan permainan mereka, serta memberikan komitmen penuh dalam setiap sesi latihan.