Dari kedudukan ke-9 Liga Super ke final Piala FA: Sabah FC cipta keajaiban 27 tahun

86

Sabah FC kini menulis sejarah baharu apabila menamatkan penantian selama 27 tahun untuk melangkah ke final Piala FA 2025. 

Kejayaan ini dicapai selepas mereka menundukkan Selangor FC dalam aksi separuh akhir yang penuh dramatik di Stadium MBPJ, Ahad lalu, melalui penentuan sepakan penalti 5-4 selepas seri 1-1 dalam masa sebenar.


Perjalanan The Rhinos dalam kempen Piala FA kali ini umpama kisah ‘fairy tale’ kerana dari pasukan yang bergelut dalam Liga Super dan kini berada di kedudukan ke-9, Sabah berjaya mengatasi pelbagai cabaran sebelum tiba ke pentas final.

Dalam suku akhir, Sabah menumpaskan Kelantan The Real Warriors FC dengan agregat 5-2.

Perlawanan separuh akhir pula menyaksikan drama berterusan apabila Sabah menentang Selangor dalam aksi yang cukup dramatik dan kontroversi.

Sepanjang kempen ini, Sabah menunjukkan semangat juang luar biasa, menyusuri laluan penuh cabaran dan berjaya menundukkan beberapa pasukan pilihan, membuktikan mereka bukan pasukan yang boleh dipandang ringan. 

Final Piala FA dijadualkan pada 14 Disember 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di mana Sabah akan berdepan juara bertahan JDT. 

Pertarungan ini bukan sahaja peluang untuk Sabah menjulang Piala FA buat kali pertama, malah kemenangan akan membawa mereka ke pentas antarabangsa, AFC Champions League Two (ACL2) musim hadapan.

Adakah The Rhinos mampu terus mencipta keajaiban atau JDT akan mengekalkan kejuaraan mereka? Semua mata kini tertumpu pada final yang dijangka berlangsung penuh dramatik ini. 

Sabah telah membuktikan, walau bergelut di liga, keajaiban tetap boleh berlaku di pentas Piala FA.