Cornelli yakin Malayan Tigress mampu buat kejutan di Sukan SEA Thailand 2025

23

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malayan Tigress, Joel Cornelli berkata skuad negara kini berada di landasan terbaik menjelang aksi Sukan SEA Thailand 2025 yang akan bermula Jumaat ini. 

Menurut Cornelli, beliau sangat berpuas hati dengan prestasi pasukan meskipun tempoh persiapan agak singkat.


“Ya, masa memang tidak panjang, tetapi saya sangat berpuas hati dengan prestasi pasukan sepanjang latihan dan juga dalam perlawanan. Kami mencuba beberapa perkara baharu berkaitan model permainan kami, jadi ada alternatif, dan juga dapat melihat pemain baharu.

Ini penting, saya sangat berpuas hati dan teruja untuk memberikan prestasi terbaik di Sukan SEA,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Cornelli pada masa sama juga memberitahu bahawa mereka kini lebih selesa bermain dengan formasi tiga pemain di belakang yang mana ia digunakan ketika menentang Hong Kong dan Bangladesh sebelum ini.

“Dalam dua perlawanan menentang Hong Kong, kami bermain dengan 3 pemain belakang, kadang-kadang 5, dan menentang Bangladesh hampir sempurna, prestasi sangat baik. Tentulah, menentang Azerbaijan ada kesilapan, tetapi itu normal, perlawanan penting untuk itu.”

Dalam pada itu, Cornelli juga menegaskan kepentingan membina mentaliti pemenang.

“Pemain kini lebih yakin selepas lima kemenangan berturut-turut. Jika mereka beri 100% usaha, peluang untuk mara ke final sangat terbuka.”

Tambah Cornelli lagi, selain pemain berpengalaman beliau turut memberi ruang kepada pemain muda untuk mencabar diri di pentas antarabangsa.

Sementara itu, sepanjang tahun ini Malayan Tigress menamatkan 14 perlawanan berbanding hanya empat pada musim lepas, satu lonjakan yang memberi harapan besar buat pencapaian bersejarah di Sukan SEA. 

“Tiada yang mustahil. Malaysia boleh.”