Dua minggu di Dubai, kelahiran semula Cheam June Wei?

2,357

Pengalaman berlatih selama dua minggu bersama Viktor Axelsen sudah pasti memberikan peluang terbaik buat perseorangan badminton profesional negara, Cheam June Wei dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Peminat boleh mengharapkan perubahan daripada corak permainan yang akan ditampilkan oleh pemain yang berada pada ranking ke-69 dunia ini biarpun cuma berlatih dalam tempoh masa yang singkat.


Kem latihan yang dikendalikan jaguh Denmark itu turut disertai oleh pemain-pemain badminton dunia yang lain seperti jaguh Singapura, Loh Kean Yew dan juga pemain India, Lakshya Sen.

Loh Kean Yew sudah menggenggam gelaran juara dunia, manakala Lakshya Sen pula turut berjaya meraih kejuaraan Terbuka India selepas berlatih bersama Axelsen di Dubai.

Bagaimana pula peluang untuk June Wei?

Adakah beliau mampu untuk mengikuti jejak langkah rakan-rakan sepelatihnya di Dubai?

Peminat sudah pasti ternanti-nanti perkembangan positif yang bakal ditunjukkan oleh beliau selepas berguru bersama pemain-pemain terbaik dunia. Sama ada beliau mampu mempamerkan permainan terbaiknya untuk memenuhi misi mencapai kedudukan yang terbaik pada tahun ini.

Dan cabaran yang pertama buat pemain yang berusia 25 tahun ini adalah bertanding dalam Terbuka Poland pada 24 hingga 27 Mac. Adakah beliau mampu mencari kedudukan terbaik dalam kejohanan ini?

Jika beliau mampu menghadirkan sesuatu, sudah pasti peminat-peminat badminton tempatan akan mula mengalihkan tumpuan kepada beliau. Tidak mustahil ini merupakan batu loncatan untuk beliau mengorak langkah dalam memperbaiki prestasi semasa beliau.

Selepas bergerak secara profesional, siapa tahu disebabkan oleh kekurangan tekanan yang diberikan kepadanya beliau mampu mencipta kejutan untuk mendaki ranking dunia?

Sebelum ini, beliau terpaksa memenuhi setiap KPI yang telah ditetapkan oleh BAM. Maka secara tidak langsung, beliau dilihat agak bergelut untuk menampilkan aksi terbaik.

Jika beliau mempamerkan aksi konsisten, adakah beliau mampu untuk mengambil alih posisi Lee Zii Jia sebagai perseorangan nombor satu negara yang juga bergerak secara profesional?