Cornelli puji peningkatan Malayan Tigress, fokus tamatkan kempen dengan bermaruah
Ketua jurulatih Malayan Tigress, Joel Cornelli, menegaskan pasukannya menunjukkan peningkatan ketara walaupun tewas kepada Myanmar dalam aksi semalam.
Menurut Cornelli, persembahan skuad negara kali ini jauh lebih tersusun berbanding perlawanan sebelum ini.
“Pada pendapat saya, kami bermain dengan lebih baik berbanding perlawanan sebelumnya. Organisasi pertahanan kami lebih tersusun, kami juga berjaya menguasai lebih banyak bola dan mencipta beberapa situasi berbahaya.
Malangnya, keputusan yang baik tidak dapat dicapai, tetapi saya percaya ada peningkatan berbanding aksi pertama menentang Vietnam,”
katanya.
Walaupun kecewa dengan keputusan, Cornelli mengakui seluruh pasukan merasai impak kekalahan tersebut.
Beliau menyatakan sasaran awal skuad negara adalah sekurang-kurangnya mendapatkan keputusan seri bagi mengekalkan peluang ke pusingan seterusnya.
“Kami sedar cabaran yang menanti kerana tahap pasukan yang kami hadapi jauh lebih tinggi. Tapi pemain bekerja keras untuk mengatasi kekurangan pengalaman menentang lawan berkualiti seperti ini.
Kekalahan sebegini juga sebahagian daripada proses pembelajaran dan perkembangan pasukan,”
Dalam pada itu, dengan satu aksi terakhir masih berbaki, fokus Malayan Tigress kini tertumpu kepada pemulihan fizikal dan mental pemain.
Cornelli mahu memastikan pasukan mampu menutup kempen kejohanan dengan penuh bermaruah.
“Kami mahu menamatkan penyertaan dengan maruah, memberikan yang terbaik demi warna negara, dan sudah tentu berusaha membawa pulang keputusan positif.”
Skuad Malayan Tigress kini bertekad untuk bangkit dan memberikan segalanya pada aksi terakhir sebagai simbol semangat juang dan kebanggaan negara.