Amorim terima kritikan legenda United, akui prestasi belum capai standard
Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim mengakui kritikan daripada bekas pemain legenda kelab adalah sesuatu yang normal memandangkan prestasi pasukan ketika ini belum mencapai tahap sepatutnya.
Dipetik dari BBC, menjelang aksi Premier League menentang Bournemouth, Amorim sedar kemenangan hanya mampu memastikan United kekal dalam kelompok enam teratas buat minggu kedua berturut-turut, satu pencapaian kecil yang jauh berbeza berbanding era kegemilangan Sir Alex Ferguson.
Menurut Amorim, bekas pemain melihat United berdasarkan standard tinggi yang pernah mereka lalui ketika kelab sentiasa mendominasi.
Justeru, situasi semasa sukar diterima oleh mereka. Beliau turut memberi reaksi terhadap kritikan Paul Scholes yang mempersoalkan kesesuaian sistemnya dengan tradisi United.
“Saya rasa itu perkara biasa. Hakikatnya, kami tidak mencapai prestasi sepatutnya. Kami sepatutnya mengumpul lebih banyak mata,” katanya.
Amorim menegaskan kritikan bukan masalah utama, sebaliknya kegagalan mencatat kemenangan.
“Jika anda menang, tidak akan ada isu,” ujarnya, sambil mengakui tanggungjawab penuh sebagai pengurus untuk memperbaiki keadaan pasukan.