Real Madrid sasar Van de Ven, krisis kecederaan paksa pelan Januari
Real Madrid dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah agresif pada jendela perpindahan Januari apabila mengenal pasti pertahanan tengah Tottenham Hotspur, Micky van de Ven, sebagai sasaran utama mereka.
Dipetik dari Teamtalk, keputusan ini didorong oleh krisis kecederaan yang terus melanda barisan pertahanan Los Blancos, dengan Eder Militao menjadi mangsa terbaharu akibat kecederaan hamstring yang dijangka meminggirkannya sehingga empat bulan.
Menurut laporan E-Noticies, Real Madrid pada awalnya menilai dua pertahanan Liga Perdana Inggeris, iaitu Marc Guehi dari Crystal Palace dan Van de Ven.
Namun, Guehi dikatakan tidak mendapat sokongan penuh daripada pengurusan tertinggi kelab, sekali gus menjadikan Van de Ven pilihan utama.
Prestasi cemerlang Van de Ven bersama Spurs musim ini menarik perhatian, malah beliau secara luar biasa muncul sebagai penjaring kedua terbanyak kelab dalam semua kejohanan dengan enam gol, walaupun beraksi di posisi pertahanan.
Real Madrid percaya perpindahan bernilai sekitar €50 juta berpotensi direalisasikan sekiranya pemain itu mendesak untuk berhijrah ke Santiago Bernabéu, sekali gus memperkukuh benteng pasukan dalam misi memburu kejayaan musim ini.