Jeneath Wong buru sejarah, sasar pertahan gelaran WAAP di bumi New Zealand

28

Nama Jeneath Wong kini menjadi kebanggaan besar golf Malaysia apabila pemain muda itu kini sedia memburu satu lagi sejarah di Kejohanan Amatur Wanita Asia-Pasifik (WAAP) 2026 yang akan berlangsung di Royal Wellington, New Zealand, dari 12 hingga 15 Februari depan.

Pada usia 21 tahun, Jeneath sudah pun mengukir namanya dalam lipatan sejarah sebagai pemenang pertama dari Malaysia di kejohanan berprestij itu selepas menjuarainya di Hoiana Shores, Vietnam pada Mac lalu. 


Kini, cabaran lebih besar menantinya apabila beliau berpeluang menjadi pemain pertama mempertahankan gelaran WAAP secara berturut-turut, satu pencapaian yang belum pernah dicapai sejak kejohanan ini diperkenalkan.

Bagi Jeneath, peluang kembali sebagai juara bertahan bukan sekadar tentang gelaran, sebaliknya satu penghormatan besar buat dirinya dan juga golf negara. 

Beliau mengakui Royal Wellington menjanjikan cabaran berbeza, namun percaya corak padang yang menuntut ketepatan pukulan dan pengurusan permainan bijak sesuai dengan kekuatannya.

“Saya sangat teruja untuk kembali sebagai juara bertahan. Ini peluang yang istimewa, apatah lagi bermain di venue yang sangat dihormati. Saya benar-benar menantikan cabaran ini,” katanya.

Malaysia bakal diwakili empat pemain di WAAP 2026 dengan Jeneath disertai Charlayne Chong Shin Ling, Nur Maisara Sa’ad dan Foong Zi Yu. 

Kehadiran mereka melengkapkan barisan 83 pemain dari 28 negara yang akan bersaing, menjadikan kejohanan ini medan terbaik menguji bakat muda elit Asia-Pasifik.

Foong dan Charlayne membawa pengalaman selepas beberapa penampilan terdahulu, manakala Nur Maisara bakal merasai debut di pentas besar ini. 

Saingan dijangka sengit dengan kehadiran pemain-pemain ternama dunia amatur termasuk Soomin Oh (Korea Selatan) dan Rianne Malixi (Filipina) yang sudah mencipta reputasi di peringkat antarabangsa.

Lebih daripada sekadar kejohanan, WAAP terus menjadi platform penting dalam pembangunan golf wanita rantau ini. 

Pemenang bukan sahaja membawa pulang gelaran, malah turut menerima jemputan automatik ke kejohanan utama dunia, satu peluang yang mampu mengubah hala tuju kerjaya seseorang pemain.

Bagi Jeneath, kejayaan di WAAP sebelum ini bukan hanya tentang trofi, tetapi simbol harapan dan inspirasi buat generasi muda di Malaysia. 

Kini, seluruh perhatian tertumpu kepada Royal Wellington, mampukah Jeneath Wong sekali lagi mengharumkan nama negara dan mencipta sejarah baharu?