Hukuman FIFA terhadap Harimau Malaya, laporan IIC dipadam – Peminat kini menanti keputusan AFC kelayakan Piala Asia 2027
Kemelut melibatkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya terus mencetuskan kejutan apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi menjatuhkan hukuman berat terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Lebih mengundang tanda tanya, perkembangan ini berlaku selepas laporan penuh Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang sebelum ini dikongsikan FAM secara terbuka tiba-tiba ‘dipadam’ daripada media sosial serta laman sesawang rasmi badan induk itu.
Sebelum dipadam, laporan IIC mendedahkan bahawa jawatankuasa tersebut tidak dapat menjalankan siasatan secara lebih menyeluruh berhubung dakwaan pemalsuan dokumentasi tujuh pemain warisan kerana tidak mempunyai kuasa statutori, termasuk untuk memanggil saksi atau mendapatkan dokumen rasmi tertentu.
Tindakan FAM memadam laporan berkenaan kemudiannya mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan yang menuntut penjelasan lebih telus.
Ketika orang ramai masih menanti maklum balas rasmi FAM mengenai kehilangan laporan tersebut, satu kenyataan media mengejutkan dikeluarkan apabila Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengumumkan hukuman terhadap skuad Harimau Malaya.
Dalam mesyuarat yang bersidang pada 12 Disember 2025 dan dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, FAM didapati melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak.
Tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang terlibat ialah aksi Malaysia menentang Cape Verde pada 29 Mei 2025 (seri 1-1), perlawanan menentang Singapura pada 4 September 2025 (menang 2-1) dan aksi menentang Palestin pada 8 September 2025 (menang 1-0).
Kesemua keputusan perlawanan tersebut kini diisytiharkan Malaysia kalah 3-0, selain FAM turut dikenakan denda CHF10,000 (sekitar RM51,414).
Dalam kenyataan rasmi FAM, mereka memaklumkan akan mengemukakan permohonan bertulis kepada FIFA bagi mendapatkan alasan terperinci keputusan tersebut sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya.
Namun, kemelut ini masih belum berakhir kerana apa yang lebih membimbangkan peminat bola sepak negara kini turut menanti dengan penuh resah keputusan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung kemungkinan hukuman yang bakal dikenakan ke atas Malaysia bagi perlawanan kelayakan Piala Asia 2027.
Sekiranya AFC turut mengambil tindakan susulan, ia berpotensi memberi kesan lebih besar terhadap perjalanan kempen Harimau Malaya di pentas Asia, sekali gus menambah tekanan terhadap FAM yang kini berada di bawah tekanan hebat peminat dan masyarakat bola sepak tanah air.