Suarez kekal di Inter Miami hingga 2026, terus bergandingan bersama Messi

17

Penyerang berpengalaman, Luis Suarez sah menandatangani kontrak lanjutan selama setahun bersama Inter Miami yang akan mengekalkannya di kelab Major League Soccer (MLS) itu sehingga musim 2026. 

Dipetik dari BBC, keputusan tersebut hadir selepas musim cemerlang 2025 apabila Suarez meledak 17 gol dan mencipta 17 bantuan jaringan dalam 50 penampilan di semua kejohanan.


Sumbangan besar bekas penyerang Uruguay itu membantu Inter Miami menjulang Piala MLS buat kali pertama dalam sejarah kelab selepas menewaskan Vancouver Whitecaps. 

Pada usia 39 tahun bulan depan, Suarez terus membuktikan sentuhannya masih berbisa meskipun sudah berada di penghujung karier.

Suarez menyertai Inter Miami sebelum musim 2024 dan kembali bergandingan dengan bekas rakan sepasukan di Barcelona seperti Lionel Messi, Sergio Busquets dan Jordi Alba. 

Walaupun Busquets dan Alba telah mengumumkan persaraan, Suarez memilih untuk meneruskan khidmatnya bersama kelab milik bersama David Beckham itu.

Kontrak baharu ini menyaksikan Suarez terus seiring dengan Messi yang sudah menandatangani perjanjian sehingga 2028. 

Walaupun pernah terpalit beberapa kontroversi, pengalaman dan ketajaman Suarez kekal menjadi aset penting buat Inter Miami dalam misi mempertahankan kejuaraan dan terus mendominasi saingan MLS.