Adam Hamid mahu cipta nama di Portugal dan Itali

15,763

Adam Hamid mungkin nama yang kurang dikenali oleh peminat bola sepak tempatan. Pemain berusia 20 tahun kini beraksi bersama pasukan divisyen kedua Liga Bosnia, NK Zvijezda Gradacac.

Adam yang boleh beraksi di posisi pertahanan kiri, sayap kiri dan sayap kanan menyertai kelab divisyen dua Bosnia itu pada bulan Jun 2021 selepas sempat beraksi untuk pasukan belia dua kelab yang berpengkalan di Serbia iaitu, Red Star Belgrade dan FK IMT.


Mengulas mengenai perjalanan karier beliau di Eropah, Adam sebenarnya bermula dengan menyertai sebuah akademi di England selama empat tahun sebelum berkelana untuk melebarkan sayapnya.

“Saya bermula di England apabila menyertai sebuah akademi bola sepak selama empat tahun. Dari situ, saya berkelana ke Perth Glory di Australia sebelum terbang ke Serbia untuk beraksi bersama Red Star Belgrade dan FK IMT”

katanya kepada Harimau Malaya

Untuk pemain yang sudah lama mencari peluang bermain bola sepak tahap tertinggi di luar negara, beliau tidak menganggap isu bahasa, cuaca dan makanan sebagai satu cabaran kerana sudah terbiasa sejak dari dahulu lagi.

“Saya sudah mula ke luar negara sejak berusia 13 tahun lagi dan berpeluang untuk tinggal dengan rakan-rakan pelbagai bangsa dan warganegara. Jadi ianya tidak menjadi masalah kepada saya untuk menyesuaikan diri”

“Saya banyak belajar sedikit bahasa yang dituturkan mereka. Malah, saya hanya perlukan dua bulan sahaja untuk memahami sedikit bahasa yang digunakan di Bosnia terutamanya ketika latihan”

katanya kepada Harimau Malaya

Apabila ditanya mengenai prospek beliau untuk dipanggil membarisi skuad kebangsaan pada masa hadapan jika namanya tersenarai, beliau menegaskan bahawa beliau ingin terlebih dahulu mencipta nama di sana. Beliau ingin memperoleh seberapa banyak peluang beraksi sebelum mahu membantu pasukan kebangsaan.

“Ya, diberitakan nama saya ada juga disenaraikan untuk membarisi skuad bawah 20 tahun. Tetapi, saya ingin memfokuskan kepada karier saya di sini untuk menstabilkan diri serta mencipta nama. Selepas itu, barulah saya akan membuat keputusan untuk mewakili skuad kebangsaan”

katanya kepada Harimau Malaya

Sementara itu, mengenai isu yang mengatakan bahawa pemain-pemain muda yang beraksi di Eropah ini tidak mengikuti prosedur yang betul kerana bernasib baik ibu bapa mereka mempunyai sumber kewangan yang besar, beliau menjelaskan bahawa ianya bukan jalan mudah kerana tidak semua kelab terutamanya yang berada di divisyen rendah mempunyai dana yang cukup untuk membiayai perbelanjaan seseorang pemain.

“Untuk berpindah ke luar negara, ianya tidak mudah. Kelab-kelab kecil tidak membiayai sepenuhnya perbelanjaan pemain. Mereka terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membayar kos seperti tiket penerbangan. Kelab-kelab kecil tidak mampu membiayai segala perbelanjaan, hanya kelab-kelab yang besar sahaja yang mengeluarkan perbelanjaan yang besar.”

“Tak salah bayar demi pengalaman, sama juga seperti kita belajar di universiti”

katanya kepada Harimau Malaya

Beliau juga menyasarkan kelab di Liga Portugal mahupun liga divisyen kedua di Itali sebagai sasaran seterusnya untuk meneruskan kesinambungan karier di Eropah.

“Saya tak sasarkan kelab-kelab besar seperti di EPL mahupun Bundesliga, cukup sekadar beraksi di Portugal ataupun divisyen kedua Itali. Saya kena realisitik dengan standard yang saya ada sekarang”

“Saya hanya akan balik ke Malaysia pada umur 30-31 tahun, bermain beberapa tahun lagi di liga tempatan sebelum bersara.”

katanya kepada Harimau Malaya
Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen