Crystal Palace ke ‘play-off’ Conference League selepas seri dengan KuPS
Crystal Palace terpaksa mengharungi pusingan play-off kalah mati dua perlawanan pada Februari selepas gagal mengesahkan slot automatik ke pusingan 16 terbaik Conference League, susulan keputusan seri 2-2 menentang KuPS di Selhurst Park.
Dipetik dari BBC, pengendali Palace, Oliver Glasner, membuat beberapa perubahan dengan menurunkan gabungan pemain simpanan dan pemain muda berikutan jadual padat pasukan.
Keputusan itu menyaksikan Joel Drakes-Thomas, 16 tahun, mencipta sejarah sebagai pemain England termuda beraksi dalam kejohanan Eropah peringkat ketiga, selain debut buat Dean Benamar dan George King.
Palace bermula cemerlang apabila Christantus Uche menjaringkan gol pembukaan pada minit kelima, sekali gus melonjakkan mereka ke kedudukan ketiga liga secara sementara.
Namun, dua gol pantas KuPS pada awal babak kedua mengubah momentum perlawanan.
Justin Devenny menyelamatkan maruah Palace menerusi tandukan pada minit ke-76 selepas lawan beraksi dengan 10 pemain.
Keputusan seri itu menyaksikan Palace menamatkan saingan di tempat ke-10 dan kini menanti undian play-off menentang Sigma Olomouc atau Zrinjski Mostar, dengan undian dijadualkan berlangsung pada 16 Januari.