Isak berdepan risiko diketepikan sehingga empat bulan
Alexander Isak berdepan detik malang apabila mengalami kecederaan ketika membantu Liverpool menewaskan Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.
Penyerang Sweden itu sempat menjaringkan gol selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, namun terpaksa dikeluarkan tidak lama kemudian susulan pertembungan dengan pertahanan Spurs, Micky van de Ven.
Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan besar di kem Liverpool apabila Isak dilihat meninggalkan padang dalam keadaan tempang.
Laporan awal media England menyatakan kelab bimbang pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan serius pada kaki kirinya, termasuk kemungkinan melibatkan tulang atau ligamen.
Buat masa ini, Liverpool masih menunggu keputusan imbasan MRI untuk mengenal pasti tahap sebenar kecederaan.
Namun berdasarkan kecederaan seumpama itu, Isak dianggarkan berdepan risiko diketepikan sehingga tiga ke empat bulan sekiranya disahkan patah tulang.
Ketiadaan Isak untuk tempoh tersebut dijangka memberi kesan besar kepada perancangan Liverpool, khususnya di barisan serangan yang kini sudah berdepan kekangan pilihan.
Keputusan perubatan rasmi kelab dijangka akan menentukan sama ada Isak masih sempat kembali dalam separuh kedua musim atau terpaksa berehat lebih lama.