United tidak akan lepaskan pemain tanpa pengganti – Amorim
Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, menegaskan kelab itu tidak akan membenarkan mana-mana pemain meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan Januari kecuali pengganti dibawa masuk terlebih dahulu.
Dipetik dari BBC, menurut Amorim, skuad United ketika ini terlalu ‘nipis’ untuk menampung sebarang pengurangan pemain.
Beberapa pemain utama seperti Kobbie Mainoo dan Joshua Zirkzee dikatakan mahukan lebih banyak minit permainan pada separuh kedua musim.
Mainoo masih berminat keluar secara pinjaman, manakala Zirkzee pula dikaitkan dengan kemungkinan kembali ke Itali. Namun Amorim berpendirian tegas bahawa situasi tersebut sukar direalisasikan.
“Kami kekurangan pemain. Walaupun dengan skuad penuh, kami masih tidak cukup untuk menghadapi segala kemungkinan,” jelas Amorim, sambil menegaskan tekanan untuk menang setiap perlawanan sentiasa menghantui kelab sebesar Manchester United.
United turut berdepan masalah kecederaan apabila tujuh pemain senior terpaksa diketepikan bagi aksi Boxing Day menentang Newcastle, termasuk Mainoo, Matthijs de Ligt dan Harry Maguire.
Walaupun tidak menolak kemungkinan membawa masuk pemain baharu Januari ini, Amorim sedar sebarang keputusan perlu dibuat dengan teliti, khususnya dari sudut kewangan dan keseimbangan skuad, ketika United memburu tempat ke kejohanan Eropah.