Justin Baas Tinggalkan Melaka FC dek isu permit kerja tak selesai, enggan jadi pendatang haram
Pemain import dari Filipina, Justin Baas telah mengumumkan penamatan kontraknya dengan Melaka FC yang beraksi di Liga A1 Semipro Ekoran kegagalan pihak kelab menguruskan permit kerjayanya.
Menerusi satu kenyataan di media sosialnya, Justin mendedahkan bahawa beliau dan peguamnya telah berulang kali mengingatkan serta meminta pihak pengurusan Melaka FC untuk menyelesaikan isu permit tersebut.
Bagaimanapun, tiada sebarang perubahan berlaku sehingga menyebabkan visa beliau akhirnya tamat tempoh.
Menurut Justin, keputusan untuk meninggalkan Malaysia dibuat demi mengelakkan sebarang masalah undang-undang dengan kerajaan, terutama berkaitan isu tinggal lebih masa secara haram (overstaying).
“Oleh kerana saya tidak mahu menimbulkan sebarang masalah dengan kerajaan negara ini dengan tinggal lebih masa secara haram, saya tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan negara ini dengan segera dan menamatkan kontrak saya,” jelas beliau.
Keputusan tersebut hanya diambil selepas beliau memaklumkan kepada kelab dan memberikan tempoh masa yang diperlukan untuk menyelesaikan kemelut berkenaan, namun tetap menemui jalan buntu.
Dalam pada itu, Justin turut menzahirkan penghargaan buat peminat setia Melaka yang memberikan sambutan hangat sebaik beliau kembali ke bumi bersejarah itu.
Beliau memohon maaf kerana tempoh perkhidmatannya kali ini terpaksa dipendekkan dan tidak berpeluang untuk meraikan kemenangan bersama-sama di Stadium Hang Jebat seperti sedia kala.
Susulan penamatan kontrak tersebut, pemain kebangsaan Filipina itu kini berstatus ejen bebas dan sedia untuk mencari peluang baharu bersama kelab lain dalam jendela perpindahan akan datang.