48 jam kritikal: City mendahului perburuan Semenyo

40

Masa depan Antoine Semenyo kini memasuki fasa paling kritikal apabila penyerang Bournemouth itu mahu perpindahannya dimuktamadkan sebelum 1 Januari. 

Dipetik dari BBC, pemain antarabangsa Ghana berusia 25 tahun itu dilaporkan berada hampir untuk menyertai Manchester City, yang kini berada di posisi paling hadapan dalam perebutan mendapatkan tandatangannya.


Menurut laporan BBC Sport, rundingan antara wakil Semenyo dan City telah mencapai tahap lanjutan, dengan klausa pelepasan bernilai £65 juta menjadi fokus utama perbincangan. 

Rundingan lanjut dijangka berlangsung dalam tempoh 48 jam akan datang bagi memuktamadkan perpindahan ke Etihad.

Walaupun City mempercepatkan usaha, Liverpool masih mengekalkan minat terhadap Semenyo, khususnya selepas kecederaan yang dialami Alexander Isak. 

Manchester United, Tottenham dan Chelsea turut pernah membuat pertanyaan, namun City setakat ini menjadi satu-satunya kelab yang menghubungi Bournemouth secara rasmi.

Semenyo mahu masa depannya diputuskan segera, sebelum klausa pelepasannya tamat pada 10 Januari. 

Bournemouth pula difahamkan mahu mengekalkan khidmatnya sekurang-kurangnya untuk dua perlawanan awal 2026. 

Dengan usia yang bakal mencecah 26 tahun, Semenyo kini memasuki kemuncak karier dan mahu memilih kelab yang mampu menawarkan projek jangka panjang untuk memburu kejuaraan utama.