Tekanan media bukan penentu taktik Amorim di United
Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim menegaskan bahawa keputusan menukar formasi pasukan tidak pernah dibuat atas tekanan media, kerana langkah sedemikian disifatkan sebagai “pengakhiran” buat seorang pengurus.
Dipetik dari BBC, Amorim buat pertama kali meninggalkan sistem pertahanan tiga ketika menentang Newcastle United, memilih formasi empat bek dengan dua pemain tengah bertahan.
Walaupun perubahan itu membantu United meraih kemenangan dan clean sheet kedua musim ini, Amorim menegaskan ia dibuat pada masa yang tepat, bukan kerana desakan luar.
Menurutnya, ketika awal membina pasukan, identiti perlu dikekalkan walaupun kekurangan pemain. Namun situasi kini berbeza apabila kecederaan memaksa penyesuaian taktikal dilakukan supaya pemain memahami sebab perubahan.
Amorim percaya perubahan hanya wajar dilakukan ketika pasukan berada dalam keadaan stabil. Jika tidak, pemain akan menganggap jurulatih tunduk kepada tekanan media.
United bagaimanapun terus berdepan krisis kecederaan dengan beberapa tonggak utama termasuk Bruno Fernandes, Kobbie Mainoo dan Harry Maguire masih diketepikan.
Walaupun tidak turun beraksi, Amorim menegaskan Fernandes kekal berperanan penting sebagai pemimpin pasukan di luar padang.