Amorim beri Amaran: “Saya pengurus, bukan sekadar jurulatih!”
Suasana di Old Trafford kian membara selepas Ruben Amorim secara terbuka mencabar kepimpinan tertinggi Manchester United agar tidak mencampuri urusannya.
Dipetik dari BBC, selepas keputusan seri 1-1 menentang Leeds United, Amorim menegaskan beliau mahu kebebasan mutlak dalam menjalankan tugas tanpa gangguan pihak atasan.
Beliau menyatakan dengan jelas bahawa peranan beliau adalah sebagai pengurus yang berkuasa penuh, bukan sekadar jurulatih di padang.
Malah, Amorim membayangkan kesediaan untuk meninggalkan kelab sebaik kontraknya tamat dalam tempoh 18 bulan sekiranya campur tangan dalam jabatan pencarian bakat dan teknikal terus berlaku.
Lebih berani, Amorim turut mengkritik budaya kelab yang dianggap terlalu sensitif terhadap kritikan luar, termasuk daripada legenda seperti Gary Neville.
Tegasnya, jika kelab tidak mampu menangani tekanan dan kritikan, perubahan besar perlu dilakukan.
Kenyataan terbuka ini mencetuskan spekulasi mengenai keretakan hubungan antara beliau dan pihak pengurusan United.