Final Supercopa de Espana 2026 sajikan aksi El Clasico di Jeddah
Final Supercopa de Espana 2026 akan menyajikan satu lagi babak El Clasico yang dinanti-nantikan apabila Barcelona dan Real Madrid sama-sama mara selepas menewaskan lawan masing-masing di separuh akhir.
Perlawanan akhir yang dijadual berlangsung di Jeddah, Arab Saudi itu bukan sekadar perebutan trofi, tetapi juga pertarungan maruah antara dua gergasi terbesar bola sepak Sepanyol.
Barcelona memastikan tiket ke final selepas kemenangan besar 5–0 ke atas Athletic Bilbao, mempamerkan aksi dominan dari awal hingga akhir perlawanan.
Raphinha menjadi watak penting dengan dua jaringan, manakala Ferran Torres, Fermín López dan Roony Bardghji turut menemui sentuhan gol.
Real Madrid pula mara selepas menewaskan Atlético Madrid 2–1 dalam pertemuan penuh intensiti.
Los Blancos mendahului menerusi Federico Valverde sebelum Rodrygo menggandakan kelebihan, manakala Atlético hanya mampu membalas melalui Alexander Sørloth.
Walaupun diasak hebat pada penghujung permainan, Madrid tetap berjaya mempertahankan kelebihan untuk menempah slot ke final.
Pertemuan ini bakal menjadi episod ke-11 El Clasico dalam final Supercopa sepanjang sejarah kejohanan.
Barcelona turun dengan status juara bertahan, manakala Real Madrid membawa misi menebus kegagalan musim lalu apabila mereka tewas kepada Barca dalam final edisi sebelumnya.
Untuk rekod, pada musim ini, kedua-dua pasukan sudah bertembung sekali dalam pertemuan liga yang pada Oktober lalu di Santiago Bernabeu, yang menyaksikan Real Madrid menang 2–1.