Impak segera Semenyo: Man City benam Newcastle di St James’ Park

33

Antoine Semenyo membuktikan harga £65 juta beliau bukan sekadar angka selepas memacu Manchester City selangkah ke perlawanan akhir Piala Carabao. 

Dipetik dari BBC, walaupun baru menyertai kelab dari Bournemouth kurang seminggu lalu, penyerang berbisa ini terus mencuri tumpuan dengan gol pembukaan klinikal di St James’ Park, menyudahkan hantaran Jeremy Doku yang dikemudi Bernardo Silva.


Newcastle United, selaku juara bertahan, kempunan mencari gol selepas dua percubaan Yoane Wissa dan Bruno Guimaraes sekadar menggegarkan palang gol. 

Ketangkasan penjaga gol muda, James Trafford, turut menjadi penghalang besar buat skuad bimbingan Eddie Howe.

Drama perlawanan memuncak pada masa kecederaan apabila pemain gantian, Rayan Cherki, meledak rembatan kencang untuk gol kedua City. 

Keputusan ini meletakkan City dalam kedudukan selesa dengan kelebihan dua gol menjelang aksi timbal balik di Etihad pada 4 Februari nanti. 

Bagi Newcastle, perubahan peraturan yang membolehkan Semenyo beraksi walaupun pernah mewakili kelab lain musim ini ternyata menjadi mimpi ngeri yang sukar ditelan.