Tiada alasan kelab tak lepaskan pemain untuk aksi persahabatan negara Mac ini

4,912

Ujian pertama buat ketua jurulatih baharu Malaysia, Kim Pan-gon akan bermula pada hujung bulan ini apabila skuad kebangsaan bakal menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa.

Pan-gon kini mempunyai tempoh kurang sebulan sahaja lagi bagi mengenal pasti pemain-pemain yang dimahukan untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada aksi kalender Persekutan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).


Malaysia dijadualkan akan menentang Filipina dan Singapura yang mana kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Singapura.

Pengendali Harimau Malaya dan barisan kejurulatihannya kini sudah mula turun padang untuk melihat sendiri prestasi pemain-pemain tempatan yang beraksi di saingan Liga Malaysia.

Sumber foto: FAM Facebook

Pan-gon telah pun hadir ketika perlawanan Piala Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim dan KL City FC pada hujung minggu lalu dan beliau kini akan meneruskan kerjanya apabila saingan Liga Super bermula pada 4 Mac ini.

Jika sebelum ini terdapat isu pasukan enggan melepaskan pemain-pemain utama mereka yang dipanggil kerana perlawanan tiada dalam kalender FIFA, jadi untuk perlawanan persahabatan kali ini rasanya isu ini tidak perlu timbul lagi kerana kedua-dua perlawanan ini penting untuk skuad negara kutip mata ranking.

Walaupun Pan-gon mempunyai tempoh yang singkat tetapi dengan pengalaman luas yang ada pada diri dan staf kejurulatihannya pasti beliau mampu lakukan sesuatu.

Beliau dan barisan kejurulatihan mempunyai 12 perlawanan Liga Super sahaja untuk dinilai sebelum mengambil keputusan panggil pemain terbaik untuk sertai kem negara. Jika tidak cukup perlawanan, mereka juga boleh menilai 10 lagi perlawanan di Liga Perdana.

Sumber foto: FAM Facebook

Walaupun peminat tidak meletakkan harapan tinggi untuk dua perlawanan persahabatan berikutan Pan-gon mempunyai tempoh yang singkat untuk barisan pemain, namun mereka berharap agar pengendali dari Korea Selatan itu diberi kebebasan seratus peratus untuk memilih sesiapa sahaja dan mendapat kerjasama daripada pasukan untuk lepaskan pemain sekiranya terpilih.

Peminat juga perlu bersikap terbuka dengan pemilihan pemain oleh jurulatih selepas ini sekiranya tiada pemain regular dalam senarai pemain terbaru kerana Pan-gon sudah pasti akan mencari pemain yang dirasakan sesuai dengan taktikal dan falsafah bola sepaknya.

Beri Pan-gon ruang dan masa secukupnya untuk membentuk sebuah skuad yang mantap sebagai persedian untuk mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia yang akan berlangsung di Malaysia pada Jun ini.

Ayuh Harimau Malaya, tunjukkan taringmu!