Keajaiban Albacete! Tumbangkan juara Eropah 15 kali, Madrid tersungkur tanpa bintang utama

31

Era baharu Real Madrid di bawah kendalian Alvaro Arbeloa bermula dengan langkah kiri apabila gergasi Sepanyol itu tersingkir mengejut daripada saingan Copa del Rey.

Dipetik dari BBC, kekalahan kepada kelab divisyen dua, Albacete, dianggap sebagai tamparan hebat buat penyokong setia Los Blancos.


Dalam percaturan berisiko, Arbeloa memilih untuk merehatkan bintang utama seperti Kylian Mbappe, Jude Bellingham, Rodrygo, dan Thibaut Courtois bagi memberi fokus kepada aksi La Liga menentang Levante. 

Walaupun membariskan pemain akademi seperti Jorge Cestero dan David Jimenez, Arbeloa menegaskan pasukan tersebut tetap berupaya untuk menang.

Albacete mengejutkan Madrid menerusi tandukan Javi Villar pada minit ke-42. Walaupun Franco Mastantuono menyamakan kedudukan, drama lapan minit terakhir menyaksikan pemain gantian, Jefte Betancor, meledak dua gol untuk mengunci kemenangan bersejarah buat pasukan Segunda itu.

Arbeloa dengan tenang memikul tanggungjawab sepenuhnya ke atas kegagalan tersebut. Beliau menyifatkan kekalahan ini sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan. 

Madrid kini perlu segera bangkit dan mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada saingan liga bagi menebus kekecewaan memalukan ini.