Selangor FC buru tiket Asia, Kim Pan-gon fokus Bangunkan DNA ‘Red Giants’
Ketua jurulatih baharu Selangor FC, Kim Pan-gon, menegaskan bahawa sasaran utama pasukan musim ini adalah untuk mengamankan tiket ke saingan peringkat Asia.
Pan-gon berkata demikian selepas skuad Gergasi Merah berjaya mencatatkan kemenangan penting 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di laman sendiri.
Walaupun mendominasi permainan, Pan-gon mengakui bahawa pasukan masih perlu memperbaiki ketajaman di bahagian serangan. Namun, beliau tetap bangga dengan kerja keras pemain yang komited untuk membawa Selangor kembali ke persaingan tertinggi.
“Musim ini, mendapatkan tiket ke Asia adalah amat penting. Saya benar-benar menghargai pengorbanan dan kerja keras mereka malam ini. Ia memberi imej yang positif kepada penyokong,”
ujarnya.
Menurut Pan-gon, selain memburu keputusan positif, pengendali dari Korea Selatan itu turut memberi tumpuan serius terhadap pembangunan identiti pasukan yang mana beliau mahu Selangor dikenali dengan gaya permainan yang dinamik dan bertenaga, atau apa yang beliau gelar sebagai “DNA Selangor”.
“Kami sedang berusaha membangunkan ‘Cara Selangor’, membentuk DNA pasukan kami supaya kuat dengan ciri-ciri bola sepak yang baik. Kami mahu mempersembahkan bola sepak yang cantik, dinamik, pantas dan bertenaga kepada penyokong.”
Beliau turut menekankan bahawa kekuatan yang ingin dibina bukan sekadar fizikal, tetapi melibatkan aspek mentaliti pemain secara keseluruhan.
Tambahnya lagi, identiti Selangor mestilah berasaskan bola sepak yang positif dan agresif.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai persaingan sengit dalam Liga Super, Pan-gon memilih untuk bersikap realistik dan menghormati kedudukan pasukan lawan yang kini berada di hadapan mereka.
“Fokus kami adalah membangunkan identiti dan DNA Selangor sendiri. Kami sedar kami masih ketinggalan dan perlu mengejar serta memperbaiki diri. Jika kami berjaya melakukan itu, semua orang akan gembira — pemain, penyokong dan jurulatih.”