Sasaran kembali ke skuad Harimau Malaya: Luqman Hakim mula tunjuk taring bersama NSFC
Kepulangan Luqman Hakim Shamsudin ke Liga Malaysia membawa misi besar iaitu kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
Menurut Luqman, prestasinya kini semakin meningkat hasil sokongan penuh pengurusan dan barisan kejurulatihan skuad Jang.
Walaupun pasukannya tewas tipis 0-1 kepada Selangor FC semalam dalam aksi Liga Super, Luqman optimis dengan proses adaptasi yang sedang dilaluinya.
Beliau turut menyifatkan Liga Malaysia kini memiliki intensiti tinggi dan sangat kompetitif.
“Syukur prestasi saya memuaskan. Liga kita sekarang sangat bagus dan mencabar, dibantu oleh kehadiran pemain import berkualiti yang meningkatkan standard permainan,”
katanya.
Dalam pada itu, Luqman berkata fokusnya kini adalah untuk membantu Negeri Sembilan mencabar kelompok teratas liga, namun impian menyarung jersi kebangsaan tetap menjadi keutamaan.
“Itu semestinya (sasaran utama). Saya mahu kembali regular untuk Malaysia. Insya-Allah, saya akan terus berjuang untuk capai sasaran itu.”
Sementara itu, meskipun sedar keserasian pasukan masih memerlukan masa, kehadiran Luqman di Liga Super memberi isyarat jelas bahawa beliau kini sedia kembali pada tahap terbaik demi lencana di dada.