Peter Cklamovski lihat ASEAN Cup platform terbaik untuk gilap bakat baharu
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Peter Cklamovski, menyifatkan kejohanan AFF ASEAN Cup sebagai peluang pembangunan yang sangat penting buat masa depan bola sepak Malaysia.
Beliau berkongsi pandangan tersebut sejurus selepas tamat majlis undian rasmi ASEAN Hyundai Cup 2026 yang menempatkan Malaysia dalam kumpulan yang mencabar.
Hasil undian menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Thailand, selain dicabar oleh Filipina, Myanmar, dan Laos. Kumpulan A pula bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Vietnam, Singapura, Indonesia, Kemboja, dan pemenang pusingan kelayakan (Brunei DS atau Timor-Leste).
Memandangkan kejohanan ini berlangsung di luar kalendar antarabangsa FIFA, Cklamovski melihat situasi tersebut dari sudut positif.
Menurut beliau, tempoh ini membolehkan barisan kejurulatihan memberi tumpuan sepenuhnya untuk membina kedalaman skuad (squad depth).
“Ia membolehkan kami memberi tumpuan kepada pembinaan depth pasukan, memberi peluang kepada pemain-pemain yang sedang meningkat naik untuk merasai pengalaman antarabangsa,” ujar beliau menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, selain mahu mengukuhkan laluan skuad kebangsaan (national team pathway), Cklamovski menegaskan bahawa penyertaan dalam ASEAN Cup kali ini adalah sebahagian daripada persiapan jangka masa panjang pasukan.
Beliau mahu memastikan pemain-pemain muda ini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kejohanan besar pada masa hadapan, terutamanya temasya Sukan SEA 2027 yang bakal dilangsungkan di Malaysia.
“Kami mahu memperkukuh laluan pasukan kebangsaan sebagai persiapan menghadapi kejohanan utama masa hadapan, termasuk Sukan SEA 2027 di Malaysia.”
Dengan baki masa yang ada, peminat Harimau Malaya pastinya mengharapkan sentuhan Cklamovski mampu melahirkan kelompok pemain baharu yang berkualiti untuk memastikan Malaysia terus menjadi pencabar utama di rantau Asia Tenggara.