Spurs dalam pertimbangan pecat Thomas Frank

25

Masa depan Thomas Frank di Tottenham Hotspur kini menjadi tanda tanya besar selepas laporan mendedahkan beliau sedang berada dalam penelitian rapi pihak pengurusan kelab. 

Dipetik dari BBC, meskipun baru tujuh bulan membimbing Spurs, prestasi hambar pasukan yang kini terdampar di tangga ke-14 Premier League telah mencetuskan desas-desus pemecatan beliau.


Frank bagaimanapun menegaskan beliau masih mendapat sokongan penuh hirarki kelab selepas mengadakan pertemuan makan tengah hari bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Vinai Venkatesham, baru-baru ini. 

Namun, tekanan semakin memuncak selepas kekalahan mengecewakan kepada West Ham, sehingga penyokong sendiri mula melaungkan ejekan menuntut beliau dipecat.

Ujian getir seterusnya menanti Frank dalam aksi Champions League menentang Borussia Dortmund. 

Keadaan menjadi lebih sukar apabila Spurs hanya memiliki 11 pemain utama yang cergas akibat krisis kecederaan serius yang menimpa bintang seperti James Maddison, Dejan Kulusevski, dan Richarlison. 

Frank kini amat mengharapkan “keajaiban” di laman sendiri untuk memenangi semula hati penyokong dan menyelamatkan jawatannya daripada berakhir lebih awal. 

Kemenangan ke atas Dortmund dilihat sebagai talian hayat terakhir bagi mengekalkan kedudukannya di London Utara.