Khabar angin Jeonbuk Hyundai Motors berminat tandatangani Arif Aiman bukan dari sumber kredibel
Nama bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, sekali lagi menjadi sebutan selepas tular hantaran di media sosial yang mengaitkan beliau dengan perpindahan ke liga utama Korea Selatan, K1-League.
Walau bagaimanapun, di sebalik keghairahan peminat melihat permata negara berkelana ke luar negara, media bola sepak Korean Football News tampil menyangkal dakwaan tersebut dengan berkata khabar angin tersebut bukan datang dari sumber yang kredibel.
Tanpa pengesahan daripada sumber berautoriti seperti portal berita K-League yang sah, berita ini diklasifikasikan sebagai khabar angin kosong yang tidak mempunyai asas perpindahan yang konkrit.
The source cited in this post is a fan account, not a sports potal. This rumor do not originate from an authoritative or credible source. https://t.co/voWvpeLBBb
— Korea Football News (@KORFootballNews) January 20, 2026
Tidak dapat dinafikan, prestasi Arif Aiman di AFC Champions League Elite (ACLE) memang sangat luar biasa. Beliau berjaya membuktikan kualitinya menentang kelab Korea seperti Ulsan HD, yang secara tidak langsung membuatkan peminat bola sepak di sana mula “bersembang” mengenai potensi beliau.
Namun, perbincangan di peringkat penyokong di media sosial jauh bezanya dengan rundingan rasmi di bilik mesyuarat kelab.
Buat masa ini, Arif Aiman masih merupakan aset terpenting JDT dengan kontrak jangka panjang. Kelab Harimau Selatan juga amat teliti dalam menentukan hala tuju pemain mereka, dan pastinya tidak akan melayan spekulasi yang hanya berlegar di akaun peminat media sosial.
Meskipun kita semua mahu melihat Arif Aiman melangkah ke tahap lebih tinggi, adalah penting bagi peminat bola sepak tempatan untuk menapis maklumat yang diterima.
Setakat ini, kaitan Arif Aiman dengan K-League hanyalah sekadar angan-angan peminat di media sosial dan bukannya satu tawaran rasmi daripada mana-mana gergasi Korea Selatan.