Real Madrid sedia tawar kontrak baharu kepada Vinicius Jr, rundingan masih tergantung

18

Real Madrid dilaporkan telah mengemukakan tawaran pembaharuan kontrak kepada pemain sayap mereka, Vinicius Jr, sebagai usaha memastikan masa depan pemain Brazil itu terus kekal di Santiago Bernabeu.

Walaupun kontrak semasa Vinícius masih berbaki sehingga tahun 2027, pihak kelab mahu mengelakkan sebarang ketidaktentuan lebih awal, terutama melihat peranannya yang semakin penting dalam pasukan.


Menurut laporan media Sepanyol, tawaran kontrak baharu itu sudah tersedia, namun rundingan belum mencapai kata sepakat.

Bintang Brazil itu dikatakan tidak tergesa-gesa untuk menandatangani perjanjian baharu, sebaliknya mahu menilai terlebih dahulu hala tuju projek Real Madrid, termasuk kestabilan pasukan dan perancangan jangka panjang kelab.

Isu utama dalam rundingan dipercayai berkait dengan struktur gaji dan status Vinicius dalam hierarki pasukan.

Sebagai salah seorang pemain paling konsisten dan berpengaruh sejak beberapa musim kebelakangan ini, kem Vinicius dilaporkan mahukan pengiktirafan setimpal dengan sumbangannya, selari dengan pemain bintang lain di kelab tersebut.

Dalam masa yang sama, Real Madrid kekal tenang dan tidak melihat situasi ini sebagai kritikal buat masa sekarang.

Dengan kontrak Vinicius masih panjang, kelab percaya mereka mempunyai masa mencukupi untuk mencari titik persetujuan yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Pihak pengurusan juga yakin Vinicius masih komited bersama Los Blancos walaupun namanya sering dikaitkan dengan minat dari luar Eropah.