Penangan ulang tahun ke-10 CULTRA: Slot jadi rebutan hingga laman pendaftaran ‘lumpuh’, bukti acara trail paling ikonik
Fenomena larian denai paling ikonik di Malaysia, Cameron Ultra (CULTRA), sekali lagi membuktikan dominasinya dalam kalendar sukan negara apabila proses pendaftaran yang dibuka hari ini menyaksikan trafik luar biasa sehingga menyebabkan laman sesawang rasmi mereka mengalami gangguan teknikal atau ‘hang’.
Tahun 2026 merupakan detik bersejarah buat CULTRA kerana ia menandakan ulang tahun ke-10 penganjurannya.
Keunikan berlari di celah ladang teh dan kedinginan suhu tanah tinggi telah mewujudkan kelompok peminat tegarnya tersendiri yang sanggup menunggu di depan skrin demi mendapatkan slot.
Meskipun tarikh penganjuran yang dijadualkan pada 17 hingga 19 Julai ini bertembung dengan satu lagi acara larian gergasi jalan raya, SCORE Marathon, ia sedikitpun tidak menjejaskan ‘aura’ CULTRA.
Kesesakan trafik digital untuk mendaftar hari ini adalah bukti kukuh bahawa CULTRA kekal sebagai acara “wajib sertai” (must-go event) buat pelari denai tempatan mahupun antarabangsa.
Ramai pelari meluahkan rasa debar dan ‘stress’ secara berseloroh di media sosial apabila laman sesawang pendaftaran berdepan kesukaran untuk memproses ribuan permohonan yang masuk secara serentak.
Kepada anda yang berjaya melepasi ‘halangan’ server dan mendapat e-mel pengesahan: Tahniah! Anda telah memenangi perlawanan pertama sebelum pun memulakan langkah di garisan permulaan.
Bagi yang masih mencuba atau sedang menunggu slot, jangan berputus asa.
Siapkan mental dan fizikal anda. Jumpa anda di garisan permulaan untuk edisi sedekad yang pastinya penuh dengan kejutan!