Gagal slot CULTRA 2026? Jangan patah hati, 3 ‘gergasi’ trail ini menanti anda!

27

Fenomena larian denai paling ikonik di Malaysia, Cameron Ultra (CULTRA), sekali lagi membuktikan dominasinya apabila proses pendaftaran bagi edisi ulang tahun ke-10 baru-baru ini mencetuskan “kegilaan” luar biasa. 

Trafik yang melampau menyebabkan laman sesawang rasmi mereka lumpuh atau ‘hang’, dan dalam tempoh beberapa jam sahaja, ribuan slot dilaporkan habis terjual dan perkara ini membuatkan ramai yang kecewa namun, bagi pelari yang gigit jari kerana tidak sempat mendaftar, usah biarkan kekecewaan itu mematikan semangat latihan anda. 


Kalendar larian denai Malaysia masih mempunyai “permata” lain yang menjanjikan cabaran tidak kurang hebatnya.

Berikut adalah tiga acara bertaraf antarabangsa yang wajib masuk dalam ‘bucket list’ anda tahun ini:

The Magnificent Baling 100 (TMB100)

Tarikh: 31 Julai – 1 Ogos 2026. 

Terkenal dengan gelaran “Syurga Trail Kedah”, TMB100 menawarkan pendakian teknikal di kawasan pergunungan Baling yang mencabar fizikal dan mental. Pemandangan kabus dari puncak Gunung Baling dan keindahan landskap utara tanah air pasti mengubat rindu anda kepada kedinginan Cameron Highlands.

Malaysia Ultra Trail by UTMB (MUT)

Tarikh: 11 – 13 September 2026. 

Inilah acara paling “prestij” dalam kalendar larian denai dunia. Berlangsung di Taiping, Perak, MUT merupakan sebahagian daripada siri jelajah dunia UTMB. Selain mengumpul Running Stones untuk melayakkan diri ke Mont-Blanc, Perancis, anda akan diuji dengan laluan hutan hujan tropika yang lembap dan teknikal di Bukit Larut.

Malaysia Taman Negara Ultra (MTNU)

Tarikh: 24 – 26 Oktober 2026. 

Mahukan pengalaman berlari di hutan tertua di dunia? MTNU adalah jawapannya. Acara ini menawarkan aura berbeza dengan laluan di dalam Taman Negara yang kaya dengan biodiversiti. Berlari di celah-celah akar pokok gergasi dan merentasi sungai memberikan kepuasan yang tidak dapat dicari di tempat lain.

Memandangkan trend “rebutan slot” kini semakin sengit, pelari dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti perkembangan media sosial penganjur dan mendaftar pada saat pertama slot dibuka bagi mengelakkan kekecewaan berulang.

Ketiga-tiga acara ini mempunyai keunikan tersendiri yang setanding dengan CULTRA. Jadi, teruskan fokus pada latihan anda ke arah destinasi seterusnya. 

Perjuangan di denai belum berakhir!