Debutan luar biasa! Lee Yee Shi lebur rekod wanita 104KM UiTM Ultra

48

Jika kategori lelaki menyaksikan kebangkitan rekod baharu, kategori wanita tidak kurang hebatnya apabila Lee Yee Shi melakar kejutan besar dalam penampilan sulungnya di UiTM Ultra apabila muncul juara keseluruhan wanita kategori 104KM.

Bukan sekadar menaiki podium tertinggi, Yee Shi turut memadam rekod wanita terdahulu (13 jam 41 minit) dengan catatan masa luar biasa, 12 jam 5 minit. 


Kemenangan ini lebih bermakna apabila beliau turut berjaya memecahkan rekod peribadi (PB) bagi jarak 100km.

Berdepan cuaca panas yang ekstrem, Yee Shi menggunakan pendekatan taktikal yang bijak iaitu tidak terburu-buru bagi mengelakkan risiko “pancit” atau bonk.

“Strategi saya pada mulanya hanya mengikut pelari kedua dari belakang. Saya tak nak push terlalu kuat kerana cuaca sangat panas. Saya hanya kekalkan momentum sehinggalah pusingan (loop) ke-9,”

katanya.

Drama bermula pada dua pusingan terakhir apabila beliau menyedari pencabar terdekat mula merapatkan jurang. 

“Bila saya nampak pelari kedua mula mengejar ketika baki 3km terakhir, saya terus pecut habis-habisan sehingga ke garisan penamat.”

Dalam pada itu, walaupun menyifatkan laluan UiTM Ultra sebagai mencabar kerana profil ketinggian (elevation) yang tinggi namun Yee Shi berkata ia sesuai untuk mereka yang ingin melakukan latihan bukit.

Beliau pada masa sama turut memuji kualiti penganjuran dan memberi penghargaan khusus kepada para kru yang sangat peka dengan keperluan pelari. 

“Ais sangat mencukupi, malah di stesen air puncak bukit pun disediakan ais yang banyak. Itu sangat membantu dalam cuaca panas begini. Makanan juga hebat dan air sentiasa ada.”

Sementara itu, Yee Shi, UiTM Ultra adalah medan terbaik bagi sesiapa yang ingin menguji had kemampuan diri.

“Daftar sahaja dan lari. Masa yang diberikan oleh penganjur sangat mencukupi untuk anda habiskan larian.”