Bukit Seroja lebih ‘Kejam’ daripada Bukit Tonggek – Fazlie Rosli

208

Nama Fazlie Rosli terus meniti di bibir peminat sukan larian ultra apabila beliau bukan sahaja mempertahankan dominasi, malah mencetak rekod baharu yang cukup luar biasa di UiTM Ultra. 

Dengan catatan 10 jam 15 minit, beliau berjaya meleburkan rekod lama kategori 104KM (12 jam 30 minit) dengan jurang lebih dua jam.


“Sejujurnya saya tak sangka boleh buat timing begini. Sasaran awal cuma bawah 11 jam, tapi bila dapat buat bawah 10 jam 30 minit, rasa sangat berbaloi dengan segala latihan yang dilakukan,

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Fazlie, persaingan pada edisi kali ini cukup sengit apabila pesaing lain mula memacu kelajuan sehingga 30 minit untuk satu pusingan (loop) 5.8KM.

“Strategi asal adalah 35 minit setiap loop. Tapi sebab pesaing lain laju, saya ikut rentak sehingga 50KM pertama dapat buat 4 jam 50 minit. Namun, selepas fasa itu, ramai yang mula mengalami serangan haba (heat stroke). Di situ saya ambil peluang untuk sekadar mengekalkan momentum sehingga garisan penamat.”

Dalam pada itu, Fazlie berkata tidak dapat dinafikan ramai pelari yang menganggap Bukit Tonggek sebagai ‘musuh’ utama, realitinya berbeza kerana jelasnya Bukit Seroja lebih kejam.

“Ramai orang rasa Bukit Tonggek paling mencabar, tapi sebenarnya ia agak pendek. Bagi saya, Bukit Seroja adalah section yang paling mencabar gila. Ia sangat panjang, kawasannya terbuka dan panas. 

Bayangkan, saya baru basahkan badan di Bukit Tonggek untuk sejukkan badan, tapi sampai saja di Seroja, badan dah kering semula sebab panas melampau.”

Tambahnya lagi, format pusingan (looping) di UiTM Ultra adalah ujian mental yang sangat tinggi kerana pelari perlu menghadap laluan dan elevation berbukit yang sama berulang kali.

Sementara itu, Fazlie berkata beliau tidak akan berehat lama selepas UiTM Ultra kerana bakal menggalas cabaran lebih besar di Malatra minggu hadapan bagi jarak 200KM di Malatra Ultra.

“Saya akan cuba sasarkan bawah 24 jam jika sempat recover sepenuhnya.”