Rekod peserta luar jangkaan, UiTM Ultra edisi 2026 dianggap penganjuran terbaik
Penganjuran UiTM Ultra edisi kali ini melabuhkan tirai dengan nota kemenangan dan Pengarah Perlumbaan, Aizuddin Imran, menzahirkan rasa syukur apabila acara gergasi yang menghimpunkan kira-kira 2,400 pelari itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Menurut Aizuddin, salah satu indikator kejayaan besar penganjuran kali ini adalah aspek keselamatan kerana tiada kecederaan serius dilaporkan sepanjang perlumbaan berlangsung.
“Alhamdulillah, semuanya terkawal. Jika ada kecederaan sekalipun, semuanya berjaya dirawat oleh pasukan perubatan di dalam kawasan UiTM sahaja tanpa perlu dihantar ke hospital luar,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selain itu, pemilihan tarikh yang jatuh pada minggu pertama cuti belajar (study week) ternyata menjadi “taktik” berkesan dalam menguruskan aliran trafik di dalam kampus yang biasanya sesak.
Tambah Aizuddin lagi, menguruskan 2,400 peserta yang merupakan satu jumlah yang di luar jangkaan bukanlah tugas mudah dan menyifatkan kejayaan ini adalah hasil sokongan padu pelbagai pihak, terutamanya Polis Bantuan UiTM dan Pusat Sukan UiTM.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat. Tanpa sokongan mereka, agak sukar untuk kami menguruskan jumlah peserta seramai ini dengan begitu teratur.”
Dalam pada itu, bercakap mengenai edisi tahun hadapan, Aizuddin memberi bayangan tentang rombakan kategori untuk tahun hadapan.
Beliau mendedahkan kemungkinan kategori 23km akan dimansuhkan bagi memberi laluan kepada kepulangan kategori paling berprestij iaitu 162km (100 Miles).
“Perancangan asal adalah membawa kembali kategori 100 batu. Namun, kita akan lihat juga maklum balas dan cadangan daripada Pusat Sukan UiTM sama ada perlu mengekalkan kategori 23km atau sebaliknya. Untuk kejutan lain, peminat ultra perlu tunggu tahun hadapan.”
Sementara itu, kejayaan edisi kali ini secara tidak langsung meletakkan UiTM Ultra sebagai antara acara larian ultra yang paling dinantikan dalam kalendar sukan negara.