Amad Diallo ‘sekolahkan’ penyokong Arsenal yang yakin menang besar ke atas United
Kemenangan dramatik Manchester United 3-2 ke atas Arsenal bukan sahaja mencuri tumpuan di atas padang, malah berlarutan ke media sosial apabila Amad Diallo mencetuskan sensasi dengan tweet sindiran terhadap penyokong Arsenal selepas perlawanan.
Segalanya bermula apabila seorang penyokong Arsenal yakin pasukannya akan menang besar sebelum sepak mula.
Namun, keputusan sebenar menyaksikan United bangkit dan mencuri tiga mata di gelanggang lawan. Tidak melepaskan peluang, Amad memuat naik grafik keputusan perlawanan bersama kapsyen ringkas “Enjoy kid”, yang jelas ditujukan kepada penyokong tersebut.
Situasi menjadi lebih panas apabila penyokong Arsenal itu membalas dengan meminta Amad supaya tidak lagi menyebut namanya.
Namun, pemain sayap United itu sekali lagi membalas dengan nada lebih sinis, menulis “Your only hope is corner, be humble kid”, merujuk kepada gol Arsenal yang hadir menerusi situasi bola mati.
Tweet tersebut pantas menjadi tular dan mengundang reaksi bercampur dalam kalangan peminat bola sepak.
Dalam perlawanan tersebut, Manchester United mempamerkan aksi penuh semangat di Emirates Stadium, bangkit setiap kali ketinggalan sebelum menjaringkan gol kemenangan lewat permainan untuk menundukkan Arsenal 3-2.
Keputusan itu memberi tamparan hebat kepada tuan rumah, selain meningkatkan keyakinan kem United.