Piala Shopee: Nam Dinh buru rekod bersih, debut Kim Pan-gon jadi tumpuan di Selangor

238

Debaran saingan Kejuaraan Kelab ASEAN Piala Shopee 2025/26 kini memasuki fasa kritikal dengan juara V.League 1, Nam Dịnh FC, berada di ambang sejarah untuk menjadi pasukan pertama mengesahkan tiket ke separuh akhir. 

Sekiranya berjaya menumbangkan Lion City Sailors FC di laman sendiri Khamis ini, kelab Vietnam tersebut akan mengekalkan rekod sempurna selepas mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan B. 


Kepulangan penggempur berbisa, Nguyen Xuan Son yang meledak lima gol dalam dua aksi terakhir, kini menjadi senjata paling digeruni buat mana-mana lawan.

Dalam kumpulan yang sama, gergasi Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini menghuni tangga kedua, turut berpeluang cerah untuk mengukuhkan cengkamannya. 

Kemenangan ke atas wakil Myanmar, Shan United di tempat sendiri dilihat sebagai misi wajib buat skuad Harimau Selatan sebelum fasa seterusnya bermula. 

Sementara itu, tumpuan peminat bola sepak tempatan pastinya terarah kepada aksi Selangor FC yang bakal menyaksikan penampilan sulung Kim Pan-gon dalam kejohanan ini. 

Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu memikul tugas berat untuk memastikan Gergasi Merah menundukkan kelab Vietnam, Cong An Ha Noi, bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati.

Di persada Kumpulan A pula, Tampines Rovers bakal berdepan ujian getir menentang juara bertahan, Buriram United. 

Kelab Thailand itu kini terdesak memburu kemenangan sulung selepas hanya mencatatkan tiga keputusan seri, sekali gus meletakkan mereka dalam risiko tersingkir awal jika gagal menundukkan wakil Singapura tersebut. 

Dengan hanya dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir pada Mei depan, setiap perlawanan minggu ini dianggap sebagai aksi ‘hidup mati’ bagi kelab-kelab elit ASEAN dalam memburu kejuaraan berprestij ini.