Kurangnya nilai komersial jadi punca ramai tak ke stadium

771

Dunia bola sepak tanah air semakin rancak, gaji pemain pula sudah ‘level-level’ antarabangsa, tetapi mengapa sambutan peminat terhadap saingan Liga Malaysia hambar terutamanya ketika negara belum dilanda pandemik COVID-19?

Itulah persoalan yang masih lagi tidak dapat dijawab sehingga kini. Nak dikatakan sebab dunia moden semuanya dapat ditonton secara dalam talian pun tidak boleh juga kerana suasana menonton di gadjet dan di stadium ini jauh berbeza.


Mengambil contoh liga-liga di Eropah, walaupun mereka lebih maju dari Malaysia dari segi kelajuan internet dan bermacam-macam lagi tetapi mereka tetap memenuhi stadium setiap kali pasukan kesayangan turun beraksi.

Jadi di mana salah silapnya Liga Malaysia ini? Nak kata ramai peminat bola sepak tempatan sudah hilang minat dengan bola sepak tempatan agak tidak masuk akal kerana apabila ada perlawanan besar seperti final hampir 100 ribu penyokong membanjiri stadium.

Lebih menyedihkan apabila stadium kelihatan kosong dengan banyak ruang-ruang kosong sedangkan ada sesetengah pasukan membuat stadium berkapasiti besar.

Salah seorang peminat Harimau Malaya menggunakan akaun bernama Hafiy Ariffin berkata punca utama kurangnya peminat ke stadium adalah kerana kurangnya nilai komersial Liga Malaysia.

Menurutnya ketika saingan Liga Malaysia disiarkan di sebuah stesen televisyen sukan berbayar, stadium tetap dipenuhi ramai peminat kerana nilai komersial.

“Pendapat saya, tak ada live di TV main peranan. Contoh masa ada live di Astro Arena. Walaupun ada live di TV, tapi stadium penuh masa itu, sebab apa? Nilai komersial.

Bermula dengan promosi pre-match seminggu sebelum dah ada iklan untuk perlawanan seterusnya pasukan apa vs pasukan apa,”

katanya.

Tambahnya lagi, selain dari itu terhadap juga rancangan yang membincangkan mengenai taktikal, barisan kesebelasan dan ramalan perlawanan akan datang.

Jelas Hafiy lagi, apa yang dilakukan sebelum ini telah menyumbang kepada nilai komersial liga bola sepak itu sendiri sekaligus mencetuskan keterujaan peminat untuk turun ke stadium.

Pada musim ini saingan bola sepak akan disiarkan di stesen televisyen RTM yang mana orang ramai boleh menonton secara langsung di TV1, TV Okey, Sukan RTM serta platform RTM Klik.

Dalam pada itu, salah seorang lagi pengguna iaitu Mohd Ridzuan Mansor pula beranggapan peminat sudah tidak ke stadium kerana saingan liga semakin tidak kompetitif.

“Keputusan sudah dijangka dan tidak banyak perlawanan besar seperti dahulu. Jadi kurang menarik, penonton alaf baru bukan macam dulu-dulu. Itulah cabarannya.

Jika pengendali dan rakan kongsi tak berubah, macam mana nak tarik pembeli atau penonton ke stadium. Mereka sudah mempunyai banyak pilihan sekarang berbanding pembeli tiket/penonton alaf lepas.”

Selain itu, ada juga yang meminta agar penyiar memuat lebih banyak promosi dan memberi contoh Sepak Takraw League (STL) yang kini menjadi semakin popular walaupun pada mulanya tidak mempunyai kelumpok peminat yang besar.

Sumber foto: Harimau Malaya Facebook

Banyak lagi cadangan-cadangan bernas daripada peminat dan diharap pihak berkenaan dapat mengambil maklum dan lakukan sesuatu untuk memastikan saingan Liga Malaysia meriah seperti satu ketika dahulu.

Kita mahukan stadium sekurang-kurangnya 70 peratus penuh setiap perlawanan dan bukannya hanya penuh ketika perlawanan final sahaja.