Kapten Spurs hilang sabar, label pihak pengurusan ‘Memalukan’ gara-gara krisis pemain
Kapten Tottenham Hotspur, Cristian Romero, melepaskan geram terhadap pihak pengurusan kelab selepas Spurs sekadar mampu menurunkan 11 pemain senior dalam aksi seri 2-2 menentang Manchester City, Ahad lalu.
Dipetik dari BBC, Romero menyifatkan krisis pemain yang melanda kelab itu sebagai sesuatu yang memalukan dan sukar dipercayai.
Kekecewaan pertahanan Argentina itu berpunca daripada kegagalan kelab memperkuatkan skuad pada jendela Januari, di mana Spurs hanya membawa masuk dua pemain senior meskipun kehilangan sembilan tonggak akibat kecederaan.
Keadaan menjadi lebih parah apabila penjaring terbanyak musim lalu, Brennan Johnson, dijual ke Crystal Palace tanpa pengganti yang setaraf.
“Sukar dipercayai tetapi benar dan memalukan. Kami hanya ada 11 pemain yang tersedia,” tulis Romero di Instagram.
Walaupun pengurus Thomas Frank cuba meredakan keadaan dengan menyifatkan urusan perpindahan tidak semudah permainan Football Manager, tekanan terus memuncak buat juara Europa League musim lalu itu.
Spurs kini terdampar di tangga ke-14 Liga Premier League, kedudukan yang lebih hampir dengan zon penyingkiran berbanding slot ke Eropah.