Hubungan Ronaldo dan Al Nassr makin retak, petanda perpisahan makin jelas?

23

Hubungan antara Cristiano Ronaldo dan Al Nassr kini dilaporkan berada pada tahap paling tegang sejak ketibaannya ke Arab Saudi.

Ia selepas bintang Portugal itu tidak diturunkan dalam perlawanan liga terbaru, sekali gus mencetuskan spekulasi besar mengenai masa depannya bersama kelab tersebut.


Ketiadaan Ronaldo dalam skuad bukan berpunca daripada kecederaan atau isu kecergasan, sebaliknya laporan media antarabangsa mendedahkan bahawa pemain berusia 40 tahun itu tidak berpuas hati dengan pengurusan kelab, khususnya berkaitan polisi pelaburan dan aktiviti perpindahan pemain.

Ronaldo dilaporkan kecewa kerana Al Nassr gagal memperkukuh pasukan secara agresif, berbeza dengan kelab-kelab pesaing dalam Liga Pro Saudi seperti Al Hilal dan Al Ittihad yang menerima sokongan besar daripada Public Investment Fund (PIF).

Situasi ini dianggap bercanggah dengan cita-citanya untuk terus bersaing di tahap tertinggi, terutama menjelang Piala Dunia 2026.

Sebagai kapten dan tonggak utama pasukan, Ronaldo merasakan sumbangannya tidak seiring dengan hala tuju kelab, sekali gus mencetuskan ketegangan dalaman yang semakin sukar disorok.

Menambah panas krisis ini, beberapa laporan mendedahkan bahawa kontrak Ronaldo mengandungi klausa khas yang membolehkannya meninggalkan Al Nassr sekitar Jun 2026, sekiranya syarat tertentu dipenuhi.

Walaupun kontraknya secara rasmi sehingga Jun 2027 , klausa ini membuka ruang untuk perpindahan — dengan beberapa kelab di Eropah dan benua Amerika dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Setakat ini, pihak Al Nassr belum mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan situasi sebenar.

Namun, ketiadaan Ronaldo dalam perlawanan penting serta laporan mengenai ketidakpuasan hatinya memberi gambaran jelas bahawa isu ini bukan sekadar khabar angin.