Sumpahan Anfield berakhir! City ‘bernafas di tengkuk’ Arsenal selepas benam Liverpool

31

Penyokong Manchester City kini boleh menarik nafas lega selepas penantian panjang untuk melihat kemenangan di Anfield akhirnya berakhir dengan penuh dramatik. 

Dipetik dari BBC, dalam aksi Premier League semalam The Citizens hampir berputus asa apabila ketinggalan 1-0 kepada Liverpool sehingga minit ke-84. 


Namun, mentaliti juara yang diterapkan Pep Guardiola terbukti apabila kapten Bernardo Silva menyamakan kedudukan sebelum Erling Haaland meledak gol kemenangan menerusi penalti di masa kecederaan.

Kemenangan 2-1 ini bukan sekadar tiga mata biasa, malah ia adalah kemenangan liga ketiga sahaja buat City di kubu kuat Liverpool itu sejak tahun 1981. 

Keputusan ini secara langsung menghidupkan semula peluang City dalam perebutan kejuaraan, memandangkan mereka kini hanya dibezakan enam mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, dengan berbaki 13 perlawanan.

Pep Guardiola dalam nada berseloroh menyifatkan kemenangan ini jauh lebih bermakna berbanding kejayaan lima tahun lalu yang dicapai tanpa kehadiran penonton. 

Walaupun prestasi separuh masa kedua dianggap belum cukup memuaskan, keupayaan untuk bangkit di stadium yang dianggap paling sukar di England itu memberikan isyarat jelas kepada pencabar utama. 

Dengan pertemuan menentang Arsenal yang dijadualkan pada April nanti, City kini berada dalam posisi terbaik untuk terus memberi tekanan rapat dalam misi mempertahankan mahkota kejuaraan mereka.