Mbappe wira minit akhir, Real Madrid terus tekan Barcelona di puncak La Liga

19

Real Madrid berjaya merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Barcelona, kepada hanya satu mata selepas mencatatkan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Valencia. 

Dipetik dari BBC, Kylian Mbappe muncul penyelamat buat skuad kendalian Alvaro Arbeloa apabila meledak gol ke-38 peribadinya musim ini pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk mengesahkan kemenangan ketujuh berturut-turut dalam saingan La Liga.


Beraksi tanpa kelibat bintang utama, Jude Bellingham dan Vinicius Junior, Los Blancos pada mulanya bergelut untuk menembusi benteng Valencia yang cukup berdisiplin. 

Kebuntuan hanya pecah 20 minit selepas babak kedua bersambung menerusi jaringan Alvaro Carreras. Walaupun Valencia hampir menyamakan kedudukan apabila percubaan Lucas Beltran terkena tiang gol, ketajaman Mbappe pada saat akhir memastikan tiga mata penuh kekal milik tuan rumah.

Kemenangan ini memastikan Real Madrid terus mengekori rapat Barcelona yang turut mencatatkan kemenangan ke atas Mallorca sebelum itu. 

Bagi Valencia, kekalahan ini meletakkan mereka dalam situasi berbahaya di tangga ke-17, hanya satu mata di atas zon penyingkiran. 

Persaingan takhta La Liga kini dilihat semakin sengit dengan kedua-dua gergasi Sepanyol itu enggan cicir mata menuju ke penghujung musim.