Kalis kecaman! Liam Rosenior buktikan kualiti sebenar selepas rekod cemerlang bersama Chelsea

28

Pengurus Chelsea, Liam Rosenior, menegaskan beliau tidak terganggu dengan pelbagai hantaran lucu (meme) di media sosial yang membandingkan gelagatnya dengan watak televisyen popular. 

Dipetik dari BBC, walaupun sering dipersendakan kerana gaya bicaranya yang unik, pengendali berusia 43 tahun itu memilih untuk kekal menjadi diri sendiri sambil menyifatkan kecaman tersebut sebagai sebahagian daripada lumrah pekerjaan di kelab besar.


Sejak mengambil alih tugas daripada Enzo Maresca pada Januari lalu, bekas bos Strasbourg ini telah membuktikan kualitinya dengan memenangi tujuh daripada sembilan perlawanan pertama. 

Malah, beliau muncul sebagai pengurus Inggeris kedua dalam sejarah yang memenangi empat aksi sulung Liga Perdana Inggeris.

Kejayaan menumbangkan Napoli 3-2 untuk mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara membuktikan sentuhan Rosenior mula membuahkan hasil. 

Kini, The Blues berada di tangga kelima liga, hanya dibezakan satu mata dengan kelompok empat teratas. 

Fokus Rosenior kini tertumpu sepenuhnya untuk memburu slot Liga Juara-Juara musim depan, sekali gus membungkam segala kritikan di luar padang.