Sampai bila bola sepak wanita akan terus dianaktirikan?

645

Tidak dapat dinafikan sukan bola sepak Malaysia masih lagi belum boleh dibanggakan tetapi ia tidak bermakna ia boleh diabaikan atau tidak diberi tumpuan.

Pasukan bola sepak wanita negara terus dianaktirikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila mereka telah membuat keputusan untuk tidak menghantar skuad wanita ke temasya Sukan SEA Hanoi yang akan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei ini.


Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam satu kenyataan, namun tidak mendedahkan sebab mengapa mereka tidak menghantar pasukan wanita pada edisi kali ini.

Kenapa isu ini masih berlaku? Sampai bila bola sepak wanita hendak maju sekiranya mereka terus dianaktirikan oleh badan induk bola sepak sendiri?

Itulah persoalan yang timbul dan pasti mengecewakan orang ramai terutamanya pemain-pemain bola sepak wanita negara apabila mendapat tahu mereka tidak akan menyertai temasya Sukan SEA pada kali ini.

Untuk rekod kali terakhir skuad bola sepak wanita negara menyertai Sukan SEA adalah pada tahun 2017 yang mana mereka gagal melepasi pusingan pertama selepas kalah dalam kesemua perlawanan.

Rekod terbaik mereka adalah pada tahun 1995 apabila mereka berjaya menjadi naib juara selepas tewas di tangan Thailand.

Jika hendak dikatakan tidak mempunyai cukup masa untuk menyiapkan pasukan dalam tempoh singkat, mengapa FAM tidak ambil keputusan untuk hantar pasukan bola sepak wanita Negeri Sembilan yang baru sahaja menjuarai saingan Women’s Super League (WSL) baru-baru ini.

Tambahan pula skuad Negeri Sembilan ini sudah mempunyai keserasian yang bagus antara rakan sepasukan, jadi amat relevan untuk mereka menyarung jersi Harimau Malaya.

Sebab itu pentingnya FAM mewujudkan satu liga bola sepak wanita untuk memastikan negara sentiasa mempunyai player pool supaya mudah untuk memilih pemain-pemain berkualiti untuk dipanggil sertai kem negara.

Disebalik kecederungan FAM yang lebih mengutamakan skuad lelaki, beberapa persatuan bola sepak negeri seperti Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah mengambil inisiatif sendiri dengan mewujudkan liga wanita iaitu WSL pada musim lalu.

Selepas melihat sambutan terhadap liga bola sepak wanita, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) juga mengikut jejak langkah dengan melancarkan saingan Liga Bola Sepak Wanita Piala Datin Seri Utama Munirah M Yusop pada musim ini.

Malah Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) juga bakal melancarkan liga bola sepak wanita di negeri itu tidak lama lagi.

Dijangka persatuan bola sepak negeri lain juga akan mengikut jejak langkah sama dan ini akan merancakkan lagi dunia bola sepak tanah air dan pada masa sama akan membuka lebih banyak peluang kepada pemain wanita lain untuk mempamerkan bakat mereka.

FAM diharap dapat mengikut jejak langkah negara-negara di Asia Tenggara lain yang mula memberi fokus kepada bola sepak wanita dan yang mana ia telah terbukti membuahkan hasil terutamanya bola sepak wanita Thailand yang kini mendapat perhatian ramai.