Pemain import di Liga Malaysia dapat perhatian liga luar, pemain tempatan bila lagi?
Semalam ramai yang memperkatakan mengenai perpindahan bekas pemain import Selangor FC, Jordan Ayimbila ke kelab San Antonio FC yang berpengkalan di Amerika Syarikat secara pinjaman.
Pemain import kelahiran Ghana itu mendapat perhatian ramai apabila beliau yang bermain di posisi pertahanan telah mempamerkan aksi cemerlangnya.
Disebalik kejayaan Jordan berjaya tarik minat kelab bola sepak dari Amerika, timbul persoalan mengapa pemain muda tempatan tidak mendapat peluang yang sama, sedangkan mereka juga bermain dengan cukup baik di Liga Super.
Malah untuk tahun ini sahaja dilaporkan tiga pemain import telah berjaya menarik minat kelab luar negara selepas mempamerkan aksi cemerlang di saingan liga tempatan.
Antara faktor utama mengapa pemain muda tempatan sukar mendapat perhatian dari kelab luar negara adalah kerana ejen yang mengendalikan pemain-pemain ini tidak mempunyai networking global.
Ejen-ejen bola sepak tempatan hanya memberi fokus pada pasukan-pasukan yang berada di liga tempatan sahaja sekaligus menghadkan potensi pemain-pemain dibawah naungan mereka.
Pemain-pemain tempatan pada masa kini juga perlu bijak dalam memilih ejen yang akan mengendalikan karier bola sepak mereka.
Untuk mencari ejen yang bagus, pemain juga tidak boleh ‘kedekut’ atau bersikap berkira-kira dalam pemilihan ejen kerana jika mereka mahu melebarkan sayap mereka ke peringkat tinggi.
Memetik ungkapan ‘you get what you pay’ adalah perumpamaan yang tepat untuk pemain yang menggunakan ejen ‘tangkap muat’ untuk menguruskan karier mereka kerana murah.
Perpindahan Jordan menjadi bukti bahawa liga tempatan tidak ketandusan pemain berkualiti tetapi memerlukan ejen bola sepak yang bagus untuk memasarkan bakat-bakat tempatan ke persada antarabangsa.
Diharap ejen-ejen bola sepak tempatan dapat mengubah strategi dalam memasarkan pemain-pemain di bawah naungan mereka untuk bukan sahaja bermain di liga tempatan tetapi juga di luar negara.