Tifo Arena bakal buat ‘comeback’?

3,987

Dunia bola sepak tanah air pernah dimeriahkan dengan kehadiran YouTuber popular Tifo Arena dari tahun 2015 sebelum mengambil keputusan untuk mengundurkan diri selepas hampir empat tahun kemudian telah mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat.

Ketika temubual bersama Harimau Malaya, salah seorang pengasas Tifo Arena iaitu Amar Amdan telah memberi bayangan mengenai kemunculan semula saluran itu nanti.


“Akan comeback atau tidak tu saya tak boleh jamin lah, tapi kami ada terfikir juga tapi memandangkan banyak perkara lain yang perlu difikirkan jadi kami rasa belum ada perancangan untuk comeback lagi lah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu Tifo Arena yang terkenal dengan hastag #akuturunstadium telah mengejutkan ramai peminat apabila mereka memuat naik video memberi bayangan bahawa pengembaraan mereka sudah sampai ke penghujung.

Apa yang membuatkan peminat tertanya-tanya adalah sebab utama mereka membuat keputusan itu berikutan mereka tidak memberikan sebab langsung.

Menurut Amar, banyak faktor yang menyumbang kepada terhentinya pengembaraan Tifo Arena dan salah satunya adalah karenah birokrasi dibelakang tabir industri bola sepak itu sendiri.

“Banyak sebab tapi salah satunya adalah apabila kami tidak dapat ‘pengiktirafan’ dari pihak yang menguruskan Liga Malaysia, sedangkan kami sudah berjaya menarik peminat. Bukan sahaja tidak dapat, malah kami juga dikritik dan didiskrimasi selepas tidak diberikan pas media dan lain-lain lagi.

Sebab itu kami ambil keputusan untuk fokus pada peminat sahaja. Itulah masalah bola sepak Malaysia.”

Tambahnya, apa yang mereka buat menerusi Tifo Arena adalah untuk melonjakkan lagi dunia bola sepak tempatan tetapi usaha yang mereka tidak dihargai membuatkan mereka kecewa dan ‘merajuk’.

Sementara itu, Amar mengakui agak keberatan untuk ambil keputusan untuk menghentikan pengembaraan Tifo Arena tetapi selepas pelbagai pertimbangan dibuat, keputusan itu terpaksa dibuat demi meneruskan kelangsungan hidup.

Sepanjang beberapa tahun pengembaraan mereka dalam dunia bola sepak tanah air, pelbagai kenangan manis dan pahit mereka telah lalui dan perkara yang tidak boleh dinafikan adalah Tifo Arena pencetus kepada peminat bola sepak untuk kembali menyokong liga tempatan.

Kami di Harimau Malaya amat berharap agar Tifo Arena dapat kembali untuk memeriahkan semula suasana Liga Malaysia yang dilihat semakin suram terutamanya selepas pandemik COVID-19.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen