MFL perlu pastikan tiada kelab ambil kesempatan terhadap ‘loophole’ SOP tunda perlawanan akibat COVID-19

549

Saingan Liga Malaysia membuka tirainya dengan langkah kira apabila dua perlawanan pertama Liga Perdana terpaksa ditunda akibat jangkitan COVID-19.

Perkara itu diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan yang memaklumkan dua perlawanan yang ditunda adalah membabitkan Selangor FC 2 dan Skuad Projek FAM-MSN dan PDRM FC menentang Kuching City FC.


Jika musim lalu mana-mana pasukan yang pemainnya didapati positif COVID-19, pasukan tersebut secara automatik akan dikira kalah, namun pada musim ini MFL telah membuat pindaan Peraturan Perlawanan Tertunda COVID-19.

Pindaan peraturan baru itu nyata disambut baik oleh kesemua pasukan yang bertanding kerana ia memberi peluang kepada pasukan yang dijangkiti COVID-19 dapat beraksi pada tarikh baru sekaligus tidak kehilangan mata.

Menerusi peraturan baru itu, MFL telah menetapkan kelab yang layak memohon penangguhan perlawanan hanya boleh dibuat sekiranya 50 peratus atau lebih dari jumlah pendaftaran skuad utama bagi pegawai dan pemain yang layak didaftarkan pada hari perlawanan dijangkiti wabak COVID-19 atau kontak rapat bergejala.

Ketika permohonan penangguhan, kelab perlu mengemukakan dokumen seperti bukti keputusan ujian dan status MySejahtera serta surat pengesahan daripada doktor pasukan.

Ia satu usaha yang cukup baik oleh MFL, tetapi mereka perlu mengambil langkah lebih proaktif iaitu tidak hanya bergantung kepada pengesahan daripada doktor pasukan sahaja sebaliknya menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk pastikan kesahihan.

‘Mencegah lebih baik dari merawat’. Kenapa perlu tubuhkan jawatankuasa khas ini? Ini kerana kita semua sedia maklum seseorang boleh lakukan apa sahaja demi kepentingan diri sendiri bukan? Jadi sama seperti kelab bola sepak juga.

Sebenarnya peraturan baru MFL ini mempunyai sedikit kekurangan atau loophole yang boleh dimanipulasi.

Antara situasi yang boleh berlaku; Beberapa tonggak utama cedera dan kelab itu mempunyai perlawanan penting dan tidak dapat turunkan skuad terbaik mereka, jadi mereka boleh memanipulasi peraturan baru ini untuk kepentingan mereka.

Tidak dapat dinafikan akan ada yang menganggap ia satu tuduhan yang agak mengarut, tetapi dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku.

Oleh itu tidak salah untuk pihak MFL mengambil langkah berjaga-jaga supaya perkara tidak diingini berlaku.