Layanan ‘double standard’ punca bola sepak wanita negara tak maju

257

Pemain wanita Negeri Sembilan FC, Natasya Najeeb akui tahap permainan bola sepak negara masih lagi rendah tetapi ia berpunca dari layanan double standard oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kita sendiri tahu pasukan lelaki negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini pun terumbang-ambing, tetapi mereka telah dihantar menyertai kesemua kejohanan, tidak ada isu prestasi tak bagus tak payah hantar.

Jadi kenapa untuk skuad wanita menerima layanan double standard. Ia sangat mengecewakan,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: NSFC Facebook

Natasya mengakui sememangnya terdapat jurang di antara skuad kebangsaan wanita dengan pasukan negara di Asia Tenggara lain seperti Thailand, Filipina, Myanmar dan Vietnam, namun ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk tidak menghantar mereka untuk bersaing.


“Tidak dapat dinafikan memang ada jurang antara kami dengan pasukan dari Asia Tenggara lain, tetapi kalau kita tengok Filipina, empat tahun lalu tahap mereka sama sahaja dengan kita, tetapi kini mereka sudah layak ke Piala Dunia.

Mereka tidak pernah putus asa dan menggandakan usaha di peringkat bawah dan ia ternyata telah membuahkan hasil.”

Tambahnya lagi, tidak salah untuk FAM menghantar pasukan ke Sukan SEA kerana ia dapat memberi pendedahan kepada pemain yang rata-ratanya adalah pemain baru.

Sumber foto: NSFC Facebook

Sekiranya takut kalah, sampai bila pemain-pemain muda ini akan mendapat pendedahan dan pengalaman.

Jelasnya lagi, untuk melahirkan pemain-pemain yang berkualiti, kekerapan latihan dan pertandingan sangat penting.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang menganjurkan saingan Liga Super Wanita yang mana pasukan Negeri Sembilan berjaya muncul juara pada edisi pertama ini.

Sementara itu, Natasya juga berkata pihak FAM sepatutnya menggunakan dana yang diberikan oleh Persekutan Bola Sepak Dunia (FIFA) untuk pembangunan bola sepak wanita dengan sebaiknya supaya tiada lagi alasan tidak ada bajet untuk skuad wanita.